Tuesday, July 27, 2010

Guru gred 41 hingga 48 dibenar berpolitik

KUALA LUMPUR - Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memainkan peranan penting memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sunday, July 25, 2010

Malaysia atasi Korea Selatan 1-0


2010/07/25

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 (B-23) Malaysia mempamer permainan cemerlang untuk menewaskan skuad B-23 Korea Selatan, 1-0 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Biarpun pasukan hari ini gandingan antara skuad bawah 21 dan bawah 23 kebangsaan, namun pasukan di bawah bimbingan K Rajagobal itu menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun menyedari pasukan lawan datang dari negara yang sudah tujuh kali beraksi dalam Piala Dunia sejak 1986.

Pada minit ke-empat perlawanan, hantaran satu-dua di antara Mohd Zaquan Adha Abdul Razak dan Norshahrul Idlan Talaha di dalam kotak penalti menyaksikan peluang terbaik untuk pasukan negara membuka jaringan, bagaimanapun ia gagal dimanfaatkan apabila rembatan kaki kiri Mohd Zaquan tersasar di kiri tiang gol Korea Selatan.
Keadaan padang yang basah akibat hujan sebelum perlawanan menyebabkan pergerakan kedua-dua pasukan yang menurunkan skuad yang akan ke Sukan Asia di Guangzhou, China pada November ini, terbatas.

Skuad Korea Selatan di bawah bimbingan Hong Myung Bo yang dikenali dengan corak permainan yang pantas dengan larian pemain yang laju, kemudian menukar rentak dengan melakukan rembatan jarak jauh untuk membolosi gawang Malaysia yang dikawal Mohd Sharbinee Allawee.

Dalam tempoh 30 minit awal perlawanan, gandingan Mohd Zaquan dan Noshahrul Idlan beberapa kali melepasi benteng pertahanan Korea Selatan yang dikendalikan oleh Kim Oh Kyu dan Jang Suk Won, namun gawang di bawah jagaan Lee Bum Soo masih tetap kukuh untuk dibolosi.

Korea Selatan memperolehi peluang terbaik membolosi pintu gol Malaysia apabila sepakan percuma yang diambil Jung Woo Young pada minit ke-40, dua meter di luar kotak penalti terkena palang, tetapi bola yang melantun itu gagal dirembat kemas oleh Kim Dong Hee ke gawang Malaysia.
Terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama kedua-dua pasukan melajukan permainan, dan akhirnya skuad Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-50 hasil rembatan deras Safiq Rahim.

Safiq yang sebelum itu mengambil sepakan percuma dua meter di sebelah kanan di luar kotak penalti lawan, merembat terus ke gawang Korea Selatan namun ia ditampan oleh Lee Bum Soo, dan pemain Malaysia itu tanpa teragak-agak merembat bola itu terus ke gawang lawan.

Tersentak dengan gol itu Korea Selatan melakukan serangan bertali arus ke kawasan Malaysia, namun barisan benteng pertahanan negara yang diketuai Mohd Sabre Mat Abu berjaya menyerap asakan lawan.

Kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran dan Rajagobal pada minit ke-60 mengeluarkan Norshahrul Idlan untuk digantikan Baddrol Bakhtiar, manakala di minit ke-65 Ahmad Fakri Saarani digantikan pula dengan Mohd Khyril Muhymeen.

Kira-kira 30,000 penonton menyaksikan perlawanan persahabatan yang diadili oleh pengadil Malaysia yang bertugas di Piala Dunia di Afrika Selatan, Subkhiddin Mohd Salleh, itu diadakan sempena 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Skuad kebangsaan Malaysia kini menduduki ranking ke-142 dunia dan ke-26 Asia berbanding skuad kebangsaan lawan yang berada di ranking ke-44 dunia dan ke-3 Asia.

Kali terakhir Malaysia bertemu Korea Selatan ialah pada Pestabola Merdeka 1995, ketika skuad senior negara menumpaskan pasukan Korea Selatan 2-1. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...