Showing posts with label artis seberang. Show all posts
Showing posts with label artis seberang. Show all posts

Saturday, August 22, 2009

Padah nama Khan


PENAHANAN selama dua jam oleh pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty di New York, membuatkan Shah Rukh Khan semakin tawar hati untuk berada di Amerika Syarikat.

Kali pertama Shah Rukh Khan tidak rasa bangga dengan nama besar yang dimilikinya

NAMA Shah Rukh Khan cukup gah sebagai pujaan ramai di negaranya, namun aktor ini tidak ghairah untuk membina nama dalam industri filem Hollywood seperti yang dilakukan kebanyakan pelakon seangkatan dengannya.

“Sebenarnya saya belum cukup bagus untuk pergi ke Hollywood,” katanya sambil menjelaskan untuk mencipta nama di Hollywood, dia harus menilai kemampuan dirinya. Bagaimanapun, katanya, itu tidaklah bermakna dia tidak menyimpan keinginan untuk mencuba di Hollywood.

“Kalau mereka di sana (Hollywood) menawarkan watak yang cukup baik, saya akan pertimbangkan. Tapi setakat ini saya tidak pernah diberikan tawaran besar atau watak yang bagus dari Hollywood, tak kiralah ia watak besar atau kecil.

“Lagipun, pada usia sudah 40 tahun ini, saya tidak fikir bakat sebagai pelakon sudah cukup bagus. Iyalah, maksud saya sangat berbakat, cukup tampan dan boleh bertutur (bahasa Inggeris) dengan baik.

“Saya juga tidak boleh melakukan sesuatu secara khusus seperti berkungfu. Lainlah mereka mula membuat filem lagu Hindi di Hollywood. Itupun saya tidak fikir mereka akan panggil saya berlakon,” katanya dalam nada yang dianggap menyindir itu.
SHAH RUKH KHAN (kanan) bersama patung lilin yang menyerupainya di sebuah muzium di Paris.

Namun begitu, Shah Rukh mengalu-alukan mana-mana bintang Bollywood yang mahu mencuba nasib dalam industri perfileman di Hollywood.

“Macam manapun, saya tak fikir bekerja di sana (Hollywood) adalah matlamat utama mereka atau menjadi sasaran penting kepada setiap aktor atau aktres dari India,” katanya.

Penahanannya selama dua jam oleh pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty di New York, membuatkan Shah Rukh semakin tawar hati untuk berada lama di Amerika Syarikat atau mempunyai perancangan serius untuk melebarkan kariernya di Hollywood.

Ketika ditahan, aktor itu dalam perjalanan ke Chicago untuk menghadiri majlis berkaitan dengan Hari Kebangsaan India.


“Mereka memeriksa dengan teliti disebabkan saya orang Asia. Mereka hendak tahu kenapa saya datang ke Amerika dan di mana saya tinggal di sini (Amerika Syarikat),” katanya.

Pengurus Shah Rukh, Niloufer Qureshi memberitahu IANS: “Dia (Shah Rukh) ditahan hanya kerana ada nama Khan di hujungnya. Dia terus ditahan sehinggalah pegawai dari kedutaan India campur tangan.”

Ditanya perkara yang sama, Shah Rukh berkata: “Sesetengah negara ada masalah dengan nama saya. Tapi saya bangga dengan nama ini (Khan)”.

Berita penahanan Shah Rukh Khan itu mendapat maklum balas segera sehingga mencetuskan ‘perbalahan’ antara India dan Amerika Syarikat. Di New Delhi, jurucakap Menteri Dalam Negeri, Vishnu Prakash berkata India akan mendapatkan penjelasan berhubung penahanan aktor kesayangan mereka itu daripada Kedutaan Amerika dan Konsol utama India di New York.

“Perkara ini akan diajukan dengan kedutaan Amerika. Kita mahu mendapatkan penjelasan mengapa perkara ini boleh berlaku,” kata Prakash.

Dalam kenyataan balas, Duta Amerika ke India, Timothy J Roemer berkata, pihaknya cuba menyelesaikan masalah itu sebaik mungkin.

“Shah Rukh adalah ikon global dan dia dialu-alukan sebagai tetamu di Amerika Syarikat. Ramai rakyat Amerika suka filemnya,” kata Timothy.

Kenyataan daripada pihak keselamatan lapangan terbang yang dipetik oleh agensi berita AFP, menyatakan penahanan Shah Rukh bukan niat hendak menghalang aktor memasuki Amerika.

“Ia bukan pengasingan, bukan juga bertujuan menghalang masuk ke negara ini. Sekiranya kami bimbang keganasan dan pengganas, kami semua bertanggungjawab untuk mencegahnya. Pemeriksaan ini bukan saja dilakukan oleh rakyat asing tetapi rakyat Amerika juga tidak terkecuali,” kata jurucakap itu.

Menteri Penerangan dan Penyiaran India, Ambika Soni mengumumkan penahanan Shah Rukh kerana sesuatu yang tidak jelas.

“Saya tidak fikir penahanannya disebabkan namanya berkait dengan agama. Tetapi di Amerika, memang ada beberapa kejadian yang menyebabkan mereka sering mendapatkan butir seseorang itu lebih daripada yang diperlukannya,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Luar India, Vayalar Ravi menyifatkan Shah Rukh sebagai ‘kebanggaan India’ dan beliau terkejut apabila aktor itu ditahan di lapangan terbang.

'Shah Rukh Khan ialah kebanggaan India. Saya terkejut apabila dia ditahan di Lapangan Terbang Newark,” katanya.

Produser filem Bollywood yang rapat dengan Shah Rukh, Karan Johar dalam reaksinya di Mumbai berkata, dia amat terkejut dan berasakan ia tidak sepatutnya berlaku. Turut melahirkan perasaan sama ialah Priyanka Chopra dan seorang lagi produser, Kabir Khan.

Shah Rukh mengakui bahawa dia ditahan kerana menjadi ‘kebimbangan besar’ kepada pegawai Amerika yang menyoalnya bertalu-talu - kebanyakannya mengenai tujuan perjalanannya ke Amerika.

Aktor itu berkata, sekumpulan rakyat India, termasuk penganjur acara dari Chicago sudah menunggu di luar lapangan terbang untuk menyambut ketibaannya.

“Secara peribadi saya berasakan perkara ini sudah selesai. Tapi sekiranya ini berlaku lagi, saya boleh minta pihak berkuasa di India supaya menahan Angelina Jolie apabila pelakon itu masuk ke negara saya pula,” kata Shah Rukh Khan.

IRONINYA sebelum penahanan itu, Shah Rukh tidak menghadapi masalah untuk menjalani penggambaran filem My Nam Is Khan yang dibuat di sekitar San Francisco.

Filem itu diterbitkan dengan kerjasama antara Dreamworks dan Reliance yang kemudian bersekutu bersama syarikat penerbitan milik Shah Rukh sendiri iaitu Shah Rukh Khan Red Chillis Entertainment dan Karan Johar Dharma Production, manakala Fox Star Studio pula akan bertindak sebagai pengedar dan pemasaran.

Fox Star Studio adalah syarikat yang memberi sokongan terhadap penerbitan filem Slumdog Millionaire. Usaha Fox Star ini dikatakan sebagai percubaan untuk mengetengahkan sentuhan ajaib Johar yang dipilih mengarahkan filem My Name is Khan.

Bagi filem ini, Shah Rukh dilaporkan menerima bayaran kira-kira RM73 juta (AS$21 juta) untuk filem ini. “Saya sangat mengambil berat dengan tawaran ini dan memang memberikan perhatian serius terhadap filem ini. Ia seperti bermula dari awal lagi selepas dua dekad,” kata aktor ini.

Filem My Name is Khan mengambil latar pasca peristiwa 9/11. Ia memberi tumpuan di atas diskriminasi yang dihadapi oleh Rizwan Khan (Shah Rukh Khan) sebagai seorang lelaki Muslim. Rizwan menderita sejenis Autism dikenali sebagai sindrom Asperger. Dia jatuh cinta dengan ibu tunggal bernama Mandira (lakonan Kajol). Cerita filem ini berlatarkan di San Francisco dengan fokusnya adalah bagaimana serangan pengganas memberi kesan terhadap kehidupan dan perhubungan mereka. Filem My Name Is Khan dijangka ditayangkan pada tahun 2010.

Selain SRK, filem ini turut dibintangi Kajol, Sonia Jehan, Jimmy Shergill, Zarina Wahab, Parvin Dabbas, Arif Zakari, Navneet Nishan, Sheetal Menon dan Tanay Chheda.

Shah Rukh menggambarkan dirinya sebagai ‘superstar’ terakhir Bollywood. Dia mendakwa perubahan dalam industri hiburan sekarang bererti ‘superstar’ di Bollywood sedang menghadapi era kesukaran. “Industri hiburan berubah sangat pesat, terutama dengan perkembangan saluran satelit dan multipleks. Tidak lama lagi tidak akan ada lagi superstars. Saya percaya bahawa saya adalah superstar terakhir India,” katanya.

FAKTA: Shah Rukh Khan

  • Dilahirkan pada 2 November 1965, di New Delhi. Graduan sarjana Ekonomi dari Hansraj College pada 1988.

  • Muncul pertama kali di TV pada tahun 1988. Filem pertamanya muncul empat tahun selepas itu. Selain popular sebagai penyanyi dan penari, dia juga dikenali sebagai pengacara program Who Wants To be a Millionaire versi India untuk satu musim.

  • Sudah membintangi lebih 70 filem.

  • Nama Shahrukh bermaksud Wajah Raja (Face of the King), tetapi lebih suka namanya ditulis sebagai Shah Rukh Khan atau S.R.K.

  • Pada mulanya dia ke Mumbai bukan hendak menjadi pelakon tetapi mahu mencari bekas kekasihnya, Ghauri. Mereka kemudian berkahwin dan mempunyai dua anak. SRK seorang Muslim, sedangkan isterinya masih seorang Hindu.

  • Buku kegemarannya ialah The Hitchhiker's Guide to the Galaxy dan mempunyai seekor anjing bernama Chewbacca.

  • Dia mengaku tidak menerima tawaran dari penerbit filem Amerika tetapi dia tidak kisah.

  • Dia dianugerahkan Doktor Kehormat dari Universiti Bedfordshire Britain pada Julai 2009/

  • Membuat pengakuan dia bersedia berlakon dengan percuma kalau terlalu suka dengan wataknya.

  • Saturday, August 15, 2009

    Shah Rukh Khan ditahan di Newark

    Shah Rukh Khan

    MUMBAI: Bintang Bollywood Shah Rukh Khan berkata beliau berasa marah dan terhina selepas ditahan dan disoal siasat di lapangan terbang Amerika Syarikat.

    Khan, 43, antara aktor India paling terkenal, dalam perjalanan ke Chicago untuk sambutan kemerdekaan India hari ini apabila beliau ditahan di Lapangan Terbang Newark.

    “Saya benar-benar diganggu mungkin kerana nama saya Khan. Mereka tak benarkan saya lalu," katanya kepada pemberita di India menerusi khidmat pesanan ringkas. Selepas beberapa jam disoal siasat, beliau dibenarkan membuat panggilan dan terus menghubungi konsulate India yang segera mendapatkan pembebasan beliau.

    “Ia sesuatu yang tidak perlu. Saya rasa marah dan terhina," kata Khan yang baru selesai menjalani penggambaran selama sebulan di AS untuk filem terbaru berjudul “My Name is Khan” yang mengisahkan pengalaman seorang lelaki Islam menghadapi tekanan perkauman.

    Seorang konsul AS di India memberitahu rangkaian televisyen India bahawa mereka berusah mendapatkan penjelasan berhubung insiden itu. - Reuters

    Monday, May 18, 2009

    Britney Spears boros

    membelanjakan RM641,442 untuk dua anaknya." title="BRITNEY yang berbelanja RM3.31 juta sebulan hanya
    membelanjakan RM641,442 untuk dua anaknya." border="0" width="250" height="378">
    BRITNEY yang berbelanja RM3.31 juta sebulan hanya
    membelanjakan RM641,442 untuk dua anaknya.

    LOS ANGELES: Bintang pop, Britney Spears mungkin seorang jutawan tapi dia sebenarnya tidak bijak menguruskan pendapatannya.

    Britney dilapor memperoleh pendapatan lebih RM41.3 juta tahun lalu tetapi dia membelanjakan RM36.4 juta dalam tempoh hanya 11 bulan hingga hujung Disember tahun lalu.

    Dia sememangnya terkenal suka berbelanja mewah dan audit yang diserahkan kepada mahkamah Los Angeles mengesahkan dia berbelanja kira-kira RM3.31 juta sebulan.

    Penyanyi itu kini kembali menikmati kejayaan dalam kariernya sebagai penyanyi selepas dua tahun berdepan masalah mental hingga menyebabkan dia dirawat di pusat psikiatrik.


    Britney yang kini mengadakan konsert jelajah dunia menghabiskan RM1.63 juta untuk menggaji pengawal dan RM677,000 untuk membayar gaji kakitangan.

    Jumlah itu jauh berbeza bagi seorang bintang dianggar bernilai RM326.1 juta tapi berbelanja hanya RM641,442 untuk anak-anaknya.

    Britney juga menghabiskan RM10.87 juta untuk membayar 17 peguam berlainan sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kebarangkalian hartanya mungkin semakin berkurangan.

    Lebih separuh dituntut mereka yang dipertanggungjawab memantau estetnya manakala sebahagian lagi diberikan kepada bekas suami, Kevin Federline untuk membiaya kos guaman yang ditanggung keluarganya.

    Dia agak bernasib baik kerana hak penjagaannya dan juga estetnya kerana ia sedikit sebanyak berjaya mengawal sikapnya.

    Namun, ia bagaimanapun gagal menghalang dia berbelanja dengan boros.

    Kos sara hidupnya dianggar berjumlah RM489,000, kemungkinan besar akibat senaman dan dietnya.

    Meskipun tiada pecahan terperinci dilakukan, sumber menyatakan, Britney menghabiskan RM27,171 sebulan untuk mengekalkan kecergasannya.

    Britney akan mengadakan konsert di London bulan depan dan statusnya sebagai diva pastinya menyebabkan dia sekali lagi berbelanja mewah, seperti yang dilakukannya tahun lalu apabila menghabiskan RM3.8 juta.

    Sumber dari Hotel Dorchester yang akan didiaminya menyatakan, Britney meminta sebuah kamar yang tidak pernah diduduki perokok, pelembab udara dipasang di semua sudut, majalah edisi terbaru dan juga bunga segar yang akan disusunnya sendiri disediakan di kamar itu.

    Namun paling pelik ialah Britney akan membawa bantalnya sendiri dan pengawalnya pula akan tidur di luar kamarnya. - Agensi

    Namun agak pelik kerana dia lebih banyak berbelanja menjaga keselamatan dan juga membayar kakitangannya daripada untuk dua anak lelakinya, Sean Preston, tiga dan Jayden James, dua.


    Jiran tak tahan Hilton anjur parti

    LOS ANGELES: Sikap Paris Hilton yang dilaporkan suka berparti dilaporkan membuatkan jirannya terlalu marah hingga sanggup menawarkan sejumlah wang kepada tuan rumah aktres itu, semata-mata memastikan beliau diusir dari rumah yang baru disewanya itu.

    Hilton, 28, dilaporkan baru lima hari berpindah ke kediaman barunya di Hollywood Hills tetapi sehingga kini polis sudah menerima dua panggilan yang mengadu mengenai sikapnya yang berparti sehingga mengganggu jirannya selain pekikan dan jeritan serta perbuatan vandalisme.

    Laman web TMZ melaporkan seorang jiran Hilton terlalu geram kerana tindakan beliau yang mengganggu ketenteraman sehingga memaksa beliau menulis surat kepada Hilton dan pemilik rumah itu, Doug Reinhardt, untuk memastikan Paris keluar dari situ.

    Dalam surat berkenaan, jiran terbabit menawarkan sejumlah 3,200 pound (RM17,300) sebulan, lebih banyak daripada jumlah sewaan yang dikenakan pemilik rumah itu kepada Hilton dan teman lelakinya.

    Jiran terbabit mendakwa bahawa pewaris rangkaian Hotel Hilton itu menjejaskan kehidupan peribadi mereka. - Agensi

    Friday, May 15, 2009

    Nicole nafi intim dengan pelakon Mesir


    Nicole Saba

    BEIRUT: Pelakon dan penyanyi terkenal Lubnan, Nicole Saba menafikan khabar angin yang turut menjadi perbualan peminat dan industri perfileman Asia Barat, bahawa beliau menjalin hubungan intim dengan aktor Mesir, Hani Salama ketika kedua-duanya berlakon bersama dalam filem terbaru mereka, Al-Safah (Pembunuhan).

    Laman web carian MBC. net, memetik Nicole sebagai berkata, sejak menjalani penggambaran Al-Safah bersama Hani, gosip mengenai hubungan mereka semakin hebat diperkatakan.

    “Pelbagai cerita yang saya dengar, antaranya, saya memakai bikini yang mengghairahkan, manakala saya dan Hani juga dikatakan melakukan adegan seks dalam filem itu. Semua itu tidak benar,

    Di dalam Al-Safah, Nicole memainkan watak seorang ibu yang mempunyai dua anak, jatuh cinta dengan seorang pembunuh, lakonan Hani. Filem itu hasil pengarah terkenal Mesir, Saed Hindawi.

    Kesediaan Nicole, 34, melakonkan watak ibu dianggap satu tindakan berani kerana kebanyakan artis muda dan pertengahan usia di Lubnan biasanya akan menolak jika ditawarkan watak ibu.

    “Bagi saya ia adalah satu cabaran baru dalam kerjaya saya dan saya bersedia melakukannya,” katanya.

    Nicole berkata sejak kali pertama berlakon dalam Al Tajrobah Al Dinmarkeh, (Pengalaman Gadis Denmark) di Mesir bersama pelakon komedi, Adel Imam, yang mendapat sambutan hebat, gosip dan khabar angin mengenai dirinya tidak pernah berhenti.

    “Peminat dan orang ramai terus memperkatakan bahawa saya hanya layak membawakan watak penggoda dan adegan ghairah,” katanya. - Agensi

    ” katanya.

    Hati Rossa


    Rossa

    Rasa sayangnya terhadap Yoyo, pemain dram kumpulan Padi, tidak pernah luntur

    SETIAP apa juga yang ditakdirkan Tuhan untuk hamba-Nya, pasti akan ada sesuatu yang manis di sebalik segala yang berlaku. Rossa percaya semua kepahitan akan menjadi mukjizat yang membahagiakan seandainya dilandaskan kerana Allah.

    Bicara Rossa pada pertemuan di pagi Sabtu itu, berlangsung ceria seakan tidak terkesan perasaan galau yang menyelubungi hatinya sejak pernikahannya dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo diuji Tuhan.

    Sudah dua tahun peristiwa itu berlalu, namun hubungan mereka masih belum menemui jalan penyelesaian.

    Akui Rossa, mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak setahun lalu. Bagaimanapun, tidak semudah itu untuk dia melepaskan ikatan pernikahan yang diikat pada 18 Mac 2004.

    Dan apa yang dimahukan penyanyi yang sedang masyhur dengan duet bersama Pasha (Ungu), Terlanjur Cinta itu adalah mencari keredaan Allah di dunia dan akhirat.



    "Saya menikah kerana Allah dan sekiranya ada cerita lain berlaku dalam hidup saya biarlah juga kerana Allah. Saya cuma mahu sesuatu yang baik di dunia dan akhirat.

    "Mungkin apa yang berlaku ini adalah ujian Allah atas segala kejayaan dan rezeki yang saya nikmati selama ini. Saya harus belajar daripada ujian itu serta berusaha keras untuk mencari jalan penyelesaian kerana kita tidak akan pernah tahu mengenai misteri hidup.

    "Mudah-mudahan semuanya berakhir dengan baik," kata Rossa mengenai badai yang menguji keutuhan hatinya terhadap lelaki yang juga bapa kepada anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan, 3 tahun.

    Jarak yang memisahkan mereka kata Rossa, memberinya dan Yoyo ruang untuk melihat ke dalam diri masing-masing daripada sudut berbeza.

    Perpisahan sementara itu juga menurut, Rossa membolehkan mereka berdua lebih objektif dalam melihat sesuatu perkara serta mencari penyelesaian terbaik dalam kehidupan.

    Bahkan katanya ikhlas, perasaan sayang terhadap lelaki itu tidak pernah pudar dan sampai bila pun dia akan tetap menyayangi Yoyo.

    "Di sebalik musibah itu, saya berdoa mudah-mudahan masih ada penyelesaian terbaik untuk kami berdua. Walaupun tidak lagi tinggal bersama, hubungan antara Yoyo dan Rizky tidak akan putus.

    "Saya mahu Rizky merasai kasih sayang ibu bapanya dan tidak mahu dia tahu masalah orang tuanya," kata Rossa.

    Beralih bicara mengenai perjalanan seninya yang sudah menjangkau 12 tahun, Rossa yang baru menyempurnakan tiga siri Konsert Persembahan Cinta di tiga bandar di Indonesia berkata, seseorang seniman tidak boleh terlalu memikirkan soal wang dan keuntungan semata-mata.

    Profesion itu katanya, hadir bersama tanggungjawab dan harus dilaksanakan sebaik mungkin. Sebagai manusia, kita tidak tidak akan pernah tahu rezeki yang dijanjikan Allah.

    Justeru kata Rossa, naik turun perjalanan seseorang anak seni adalah lumrah putaran kehidupan yang harus diterima. Selama diberi ruang, dia akan bekerja keras tanpa terlalu obses untuk terus berada di atas.

    "Saya menyanyi kerana cinta dan menyenangi kerja yang dibuat. Saya cuma mampu memberi yang terbaik dan berdoa moga akan menjadi lebih baik berbanding hari ini.

    "Andai ditakdirkan kejayaan belum menjadi milik saya, saya percaya mungkin ada rezeki tertunda yang dijanjikan Tuhan nanti," katanya realistik.

    Penyanyi yang baru melahirkan album kelima yang mengangkat namanya sebagai judul itu berkata, dia tidak mahu terpaku selesa apabila meraih sesuatu kejayaan.

    Sebaliknya, dia mahu karier nyanyiannya menampakkan proses dinamik supaya peminat tidak bosan dengan apa yang dipersembahkan.

    Akui Rossa, setiap album yang dihasilkan adalah refleksi serta curahan rasa seseorang penyanyi kerana mereka yang memilih serta mencorakkan, produksi bagaimana mahu ditampilkan.

    Cuma mungkin kebelakangan ini, namanya lebih sinonim dengan lagu sendu membuatkan banyak pihak mengandaikan setiap nyanyian adalah curahan suara hatinya.

    "Album itu umpama diari yang menggambarkan cita rasa muzik seseorang penyanyi pada satu penggal kehidupan. Ia bukan curahan hati cuma saya menyenangi lagu yang mempunyai jiwa dan karektor," katanya.

    Kumpul semua sahabat demi album baru

    PEMILIK nama penuh, Rossa Roslaina Sri Handayani, 30, ini mempunyai sebab mengapa dia meletakkan namanya sebagai judul album itu.

    Ia melambangkan dedikasi terhadap kerja kerasnya selama dua tahun mengumpul lagu, malah memberikan idea mengenai lagu serta susunan yang dimahukan.

    Album yang dilancarkan di Jakarta, Januari lalu, menampilkan dua single, Terlanjur Cinta dan Hati Yang Kau Sakiti yang sedang menghiasi sinetron popular di sana.

    Memberikan lebih keistimewaan kepada Rossa, album itu juga mengumpulkan semua sahabatnya untuk mencurahkan kreativiti mereka lewat 11 lagu yang dimuatkan.

    Setiap lagu mempunyai makna tersendiri dan Terlanjur Cinta yang dicipta suaminya buat pertama kali menampilkan Rossa dalam lagu duet.

    "Saya menyenangi karakter vokal Pasha dan memang mahukan sebuah lagu duet untuk album ini. Sebenarnya lagu ini sudah lama dihasilkan Yoyo iaitu sekitar 2006.

    "Inspirasi lagu ini diperoleh selepas kami menonton sebuah filem Inggeris yang diadaptasi daripada kisah benar. Ia melekat di hati kami kerana lagu itu menceritakan keikhlasan seseorang menerima pasangannya biarpun lelaki itu sudah berubah dan menjadi orang lain," katanya.

    Bagaimanapun, daripada keseluruhan lagu, Rossa begitu menyukai trek pembukaan album itu, Hey Ladies! yang mengumpulkan semua teman baiknya.

    Lagu itu kata Rossa, diilhamkan Melly dan ketika rakaman semua teman baiknya iaitu Yuni Shara, Krisdayanti, Tamara Geraldine dan Iis Dahlia ada bersama di studio.

    "Mereka turut sama menyanyi dan saya menyifatkan lagu itu sebagai lagu untuk teman-teman," katanya yang berbangga dapat bekerja dengan nama lain seperti Enda, Icha (Jikustik) dan Badai untuk pembikinan album itu.

    Puas kerana setiap lagu yang dimuatkan mempunyai karakter tersendiri namun menggambarkan dirinya, Rossa turut mengalunkan sebuah lagu kerohanian, Tak Berpaling Dari-Mu.

    "Lagu itu adalah janji saya kepada Allah. Ia dibuat bukan kerana kejayaan Ayat-Ayat Cinta," katanya.

    Rossa turut menerima trofi Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan Artis Luar Negara pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 16, Sabtu lalu menerusi Ayat-Ayat Cinta.

    Akan kembali ke Kuala Lumpur, Rossa bakal mengadakan persembahan showcase sempena pelancaran album terbarunya di KL Life, Jalan Sultan Ismail, pada 27 Jun ini.

    Pada persembahan itu, Rossa akan membawakan sekitar 15 lagu untuk semua peminat yang merindui kelunakan suaranya.

    INFO: Rossa

    Nama Penuh: Rossa Roslaina Sri Handayani

    Nama Komersial: Rossa

    Tarikh Lahir: 9 Oktober 1978

    Umur: 30 tahun.

    Asal: Sumedang, Indonesia.

    Album: Untuk Sahabatku (1989), Nada Nada Cinta (1996), Tegar (1999), Hati Yang Terpilih (2000), Kini (2002), Kembali (2004), Yang Terpilih (2006), OST Ayat Ayat Cinta (2008) dan Rossa (2009)

    Sinetron: Dua Sisi Mata Uang dan Perisai Kasih.

    Pencapaian: Juara I Bahana Suara Pelajar II, TPI, Tingkat Daerah Jawa Barat (1993), Artis Wanita Terbaik MTV Indonesia (2000), Bintang Yang Memukau Khalayak, Cek & Ricek (2000), Penyanyi Wanita Terbaik, Kategori Pop Progresif Anugerah Musik Indonesia (AMI) Sharp Awards (2002), Pencalonan Penyanyi Pop SCTV Award, Artis Eksklusif MTV dan Penyanyi Popular SCTV Awards (2008).


    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...