Showing posts with label kisah masyarakat. Show all posts
Showing posts with label kisah masyarakat. Show all posts

Monday, August 31, 2009

Doktor mangsa terbaru selesema babi


KUALA LUMPUR: Seorang doktor wanita yang dimasukkan ke wad Hospital Pakar Seremban (SSH) sejak 21 hari lalu, meninggal dunia awal pagi semalam, dipercayai akibat dijangkiti wabak Influenza A (H1N1).

Dr Noorfiza Isa, 43, yang bertugas di hospital itu sejak lima tahun lalu, sebelum itu dikatakan koma sehingga menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 pagi semalam dan dikatakan doktor pertama di negara ini yang meninggal dunia akibat penyakit berkenaan.

Menurut sumber, Allahyarham bertugas di Unit Kecemasan dan mengalami tanda penyakit berbahaya itu pada 6 Ogos lalu dan dimasukkan ke wad tetapi dibenarkan keluar sehari selepas itu.

Bagaimanapun, keadaan mangsa yang tinggal di Taman Tasik Jaya, Senawang, semakin buruk dan dimasukkan semula ke wad hospital berkenaan pada malam 9 Ogos dan koma sehingga meninggal dunia awal pagi semalam.

"Mangsa adalah antara tiga doktor di hospital itu yang dijangkiti H1N1 tetapi keadaan mangsa yang paling teruk dan dirawat selama 21 hari sebelum meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, berkata setakat ini hanya 15 kakitangan yang terbabit dalam perkhidmatan kesihatan di seluruh negara dijangkiti wabak berbahaya itu tetapi tiada kematian dilaporkan setakat ini.
"Bagi kematian membabitkan doktor wanita itu, setakat ini tidak dapat disahkan punca kematiannya sehingga keputusan ujian mengenainya mungkin dikeluarkan esok (hari ini)," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, dalam kenyataannya semalam, menyebut seorang lagi berusia 49 tahun dengan masalah kesihatan hepar (hati) menjadi mangsa korban terbaru jangkitan wabak itu.

Thursday, August 27, 2009

Kakitangan pos ditahan edar mercun

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang kakitangan Pos Malaysia Bhd yang menggunakan kontena syarikat itu untuk mengangkut bunga api dan mercun bernilai RM50,000 dari Pasir Mas ke rumahnya di Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki berumur 33 tahun yang berasal dari Kelantan itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam tadi bersama-sama beberapa kotak mercun dipercayai untuk dijual kepada pelanggan.

Beliau berkata, lelaki itu dipercayai mengambil bekalan mercun dan bunga api daripada pembekal di Golok, Selatan Thailand dan membawa masuk ke Pasir Mas, Kelantan sebelum dibawa ke ibu negara menggunakan kontena milik Pos Malaysia. "Kami percaya bekalan itu dibawa ke sini menggunakan kontena milik syarikat tempat kerjanya dan lelaki itu turut mengemukakan dokumen-dokumen tertentu bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa," katanya dalam satu sidangan akhbar di sini hari ini.

Ku berkata, hasil pemeriksaan ke atas rumah lelaki itu di Gombak kira-kira pukul 1.37 pagi tadi, polis menemui 20 unit bunga api jenama Thunder Cracking Clap, 78 kotak besar bunga api, dua kotak mercun, 11 unit bunga api jenama Friday Night Special dan 18 unit bunga api jenama Feitianlong.

Katanya, suspek menjual mercun serta bunga api pada harga antara RM30 dan RM150 satu pek atau setiap satu, dan siasatan mendapati nilai perolehan hasil kegiatan yang dijalankan sejak tahun lepas itu dianggar menjangkau RM300,000. Beliau berkata, bunga api serta mercun itu dijual di sekitar Lembah Klang dan suspek yang sudah berkahwin itu kini ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - Bernama

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Mutakhir/20090827153722/Article/

Saturday, August 22, 2009

Isteri dara hamil


MEMILIKI anak memang menjadi impian bagi setiap pasangan yang berkahwin kerana anak kerap dikatakan menjadi penghubung kasih sayang antara si ibu dan bapa.

Oleh itu, tentunya hubungan kelamin menjadi langkah pertama supaya wanita mampu hamil sebelum dapat melahirkan anak selepas matangnya tempoh kehamilan.

Tindakan ini memang fitrah manusia, namun jangan terkejut kerana ada kes terpencil di mana wanita yang jahil mengenai seks tetap hamil walaupun zakar belum menembusi faraj. Ini kisah benar kerana saya pernah mengendalikannya.

Apabila satu pasangan baru berkahwin berjumpa saya kerana si isteri lewat datang haid, ujian kehamilan dilakukan ke atas isteri dan keputusannya dia didapati positif mengandung, walaupun mereka tidak pernah melakukan hubungan penetratif.

Ini berlaku kerana wanita itu takut untuk melakukan hubungan penetratif. Jadi, mereka keliru bagaimana isteri itu boleh hamil.

Bagaimanapun, selepas mereka menjelaskan cara hubungan intim dilakukan, baru saya faham dan dapat menjelaskan keadaan yang menyebabkan wanita itu mengandung.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah setiap kali suami mengakhiri adegan sentuhan intim terhadap isterinya, dia melepaskan air maninya di kelangkang isteri dan air mani itu dibiarkan meleleh.

Ini mengakibatkan isteri mengandung apabila lelehan air mani menuju ke pembukaan faraj dan bercampur dengan air mazi isteri dan dengan kuasa Tuhan, kehamilan berlaku. Walhal wanita itu masih dara!

Yang menjadi masalah ialah, ketika hamil, hubungan kelamin mungkin terhenti seketika dan dilakukan kembali selepas isteri bersalin dan tamat waktu berpantang.

Jangkaan pasangan itu ialah selepas bersalin secara normal, faraj menjadi sedikit renggang dan mudah dilegakan untuk membolehkan hubungan penetratif dilakukan.

Bagaimanapun, jangkaan itu nyata meleset. Wanita itu masih takut untuk melakukan hubungan seksual, sekali gus menyebabkan masalah sama berulang apabila wanita itu tidak dapat menyesuaikan dirinya untuk bersetubuh.

Hubungan mereka akan menjadi hambar dan boleh menggugat rumah tangga kerana suami mungkin meminta perpisahan apabila masih tidak dapat bersama isterinya, walaupun selepas bersalin. Tanpa bimbingan dan rawatan doktor, perkara ini tidak akan dapat diatasi.

Berbalik kepada pasangan yang mendapat rawatan dengan saya, wanita terbabit selamat melahirkan anak lelaki dan setahu saya, wanita itu kemudian dapat melakukan hubungan seksual penetratif dengan suaminya selepas mendapat bimbingan dan tunjuk ajar cara mengawal dan membuka faraj untuk memudahkan kemasukan zakar.

Gelisah lelaki muda


PENGELUARAN air mani atau air mazi tanpa rangsangan seksual dikenal pasti menjadi masalah kepada ramai lelaki dan pakar perubatan sebelum ini menyifatkannya sebagai masalah kesihatan yang boleh memudaratkan.

Keputusan doktor pakar ketika itu dibuat kerana kepercayaan air mani dijadikan daripada darah dan tulang sumsum.



Oleh itu, pengeluarannya tanpa rangsangan boleh membuatkan lelaki pucat, lemah, mandul dan mati pucuk.

Kepercayaan itu masih berkekalan walaupun perkara ini ditafsirkan pakar terkini sebagai perkara semula jadi dan tidak perlu dibimbangkan.

Pengeluaran air mani tanpa rangsangan seksual juga satu ketika dilabelkan sebagai ‘Spermatorrhea Panic’ atau pengeluaran air mani akibat kegelisahan.

Perkara itu boleh berlaku mengikut keadaan seperti ketika mandi tanpa stimulasi seksual, ketika buang air kecil atau air besar, ketika menukar atau memakai pakaian, ketika menjalani pemeriksaan, ketika bersukan dan juga keletihan fizikal.

Pakar Psikologi, Dr Alfred Kinsey, pernah menterjemahkan ‘Panic Spermatorrhea’ sebagai fenomena semula jadi lelaki muda. Katanya, jika disalah tafsir, perkara itu boleh menjadi tekanan kepada lelaki berkenaan.

Di sesetengah negara seperti Pakistan, India, Bangladesh dan Nepal, pengeluaran air mani tanpa rangsangan seksual dianggap penyakit lemah tenaga batin.

Mereka berpendapat fenomena itu membuatkan mereka lemah dan tidak bertenaga. Fenomena bergelar ‘Sindrom Dhant’ itu masih lagi menular di kalangan lelaki muda dan berusia. Mereka juga masih percaya kemudaratan masalah itu.

Jadi tidak hairan jika masyarakat kita di sini juga terpengaruh dengan fenomena seumpama itu dan menganggapnya sebagai penyakit atau musibah.

Pengeluaran air mani tanpa rangsangan yang berlaku dalam keadaan saya senaraikan tadi sebenarnya memang ada elemen perasaan dan emosi, yang turut mempengaruhi rangsangan badan yang boleh mencetuskan ejakulasi.

Yang penting, seseorang lelaki itu jangan khuatir mengenai perkara seperti itu dan perlu sedar bila dia dalam situasi akan mengeluarkan air mani tanpa rangsangan.

Sebenarnya, mungkin secara tidak sedar seseorang itu mengalami sedikit rangsangan secara tidak langsung, maka berlakulah pengeluaran air mani.

Jangan bimbang kerana ia tidak memerlukan apa-apa rawatan kecuali memberi keterangan dan maklumat mengenai fenomena itu supaya individu yang mengalaminya seperti anda tidak tertekan.

Bagaimanapun, ada ubat yang boleh diberi seperti ubat mengurangkan keresahan supaya minda lega.

Bahaya onani



BERONANI sudah menjadi seperti masalah lazim yang dihadapi lelaki kerana banyak soalan diajukan berkaitan ruangan ini. Berikutan itu saya gabungkan beberapa masalah yang kebanyakannya berkaitan ‘ketagih onani’ untuk renungan bersama.

Sebenarnya, dalam bidang perubatan banyak pertikaian mengenai amalan itu, dengan kebanyakan pakar psikologi berpendapat ia satu cara untuk mengenali diri secara mendalam, terutama mengenai tindak balas perasaan syahwat dan kemuncak rangsangan seksual.

Bagaimanapun, mereka tidak menjelaskan apa perlu dilakukan apabila amalan itu bertukar ketagihan kerana saya menerima banyak soalan daripada mereka yang mengaku ‘penagih onani’.

Masalah itu membabitkan semua peringkat usia dengan sebahagian besarnya remaja dan bujang, tetapi golongan berkahwin turut tidak ketinggalan dengan amalan ini, malah ada yang menyifatkan berasa lebih puas dengan beronani.

Anda boleh bayangkan tekanan yang diberi kepada anggota sulit dan sistem syahwat apabila beronani. Jika anda melakukan onani secara luar biasa seperti rangsangan seksual secara kasar dan kuat untuk mengecapi klimaks, mungkin apabila beristeri, anda mendapati bersetubuh dengannya tidak memberi kepuasan seperti anda kecapi secara onani.

Masalah ini dikenali sebagai ‘Traumatic Masturbatory Syndrome’. Yang menimbulkan masalah ialah onani mengakibatkan klimaks anda berlaku dengan cepat, yang jika berterusan dan diamalkan akan mengakibatkan anda tidak dapat bertahan lama apabila mengadakan hubungan seksual sebenar.

Selain itu, jika merangsang anggota sulit dengan ganas sehingga mengakibatkan ia sakit dan bengkak, mungkin satu hari nanti anda mengalami mati pucuk apabila kerosakan lama menunjukkan kesannya.

Ini kerana anggota sulit adalah organ vaskular dan tidak boleh dirangsang dengan keras. Ia hanya sesuai untuk dirangsang melalui salur faraj wanita.

Berkaitan benih dan kesuburan, ia bukan dalam pengaruh onani. Bagi anda yang sihat dan buah zakar berfungsi dengan baik, ia pasti mampu menghasilkan sperma.

Namun, kerosakan buah zakar boleh berlaku pada bila-bila masa ketika melakukan onani. Jika ia berlaku dan menjejaskan kilang sperma, tentu anda akan mandul kerana sperma tidak lagi dihasilkan ‘kilang’.

Sebagai contoh, anda melakukan onani dalam keadaan tidak terkawal seperti pengaruh alkohol, menyebabkan tidak tahu atau sedar ketika itu anda meragut atau mencederakan buah zakar.

Anda hanya menyedari selepas beberapa lama yang buah zakar anda menjadi semakin kecil atau bengkak, dan jika kilang sperma terjejas, anda menjadi mandul.

Sudah tentu perkara yang menyeronokkan sukar dihentikan, kecuali berlaku perkara memudaratkan seperti keradangan buah zakar dan kebengkakan zakar.

Bagaimanapun, sudah terlewat jika tiada cara merawatnya. Mungkin jika zakar terkulai, bengkok atau patah, ada cara rawatan seperti pemulihan dengan pembedahan atau penggunaan alat pemulih.

Monday, May 18, 2009

Dua bersaudara dirogol 9 lelaki

Remaja ditinggalkan di bangsal getah berhampiran pusat perkelahan

GRIK: Hasrat dua remaja perempuan bersaudara keluar makan malam bersama teman mereka bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dirogol secara bergilir-gilir sembilan lelaki di sebuah bangsal getah berhampiran Pusat Perkelahan Lata Ulu Lawin dekat sini, Rabu lalu.

Kedua-dua mangsa berusia 16 dan 17 tahun keluar dari rumah keluarga mereka di Kati, Kuala Kangsar apabila seorang daripadanya menghubungi teman lelakinya untuk mengajak makan di pekan Lenggong dan dibawa membonceng motosikal oleh teman lelaki mangsa dan rakannya.

Bagaimanapun, mereka dibawa ke Lawin Selatan, Grik sejauh lebih 50 kilometer dari rumah mereka.

Sumber polis berkata, apabila tiba di bangsal ladang getah itu kira-kira jam 10.30 malam, kedua-dua gadis berkenaan dirogol teman lelaki dan rakannya. Beberapa ketika kemudian, tujuh lagi lelaki yang menaiki motosikal tiba di situ dan merogol mereka secara bergilir-gilir.

Kedua-dua mangsa kemudian ditinggalkan di bangsal itu sehingga keesokan paginya dan berjalan kaki keluar ke jalan raya di Felda Lawin Selatan sebelum meminta bantuan penduduk kampung.

Mangsa yang bersaudara sepupu sudah tidak bersekolah dan bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Kuala Kangsar itu kemudian dibawa keluarga masing-masing untuk membuat laporan polis di Balai Polis Kati pada jam 1.30 pagi, Jumaat lalu.

Menurut sumber, polis merampas beberapa helai pakaian dan kain yang ditemui di tempat kejadian selepas menerima laporan untuk dijadikan bahan bukti.

Ketua Polis Daerah Grik, Superintendan Mahad Nor Abdullah, ketika ditemui di sini, semalam mengesahkan kejadian itu, berkata polis sedang memburu mereka yang terbabit dalam kejadian rogol berkumpulan itu.

"Dengan bantuan maklumat yang diterima daripada mangsa, polis sudah berjaya menahan tiga lelaki berusia awal 20-an di rumah masing-masing iaitu seorang Jumaat lalu dan dua pada malamnya.

"Polis masih memburu enam lagi suspek dan percaya akan dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat kerana sudah mempunyai maklumat mengenai mereka," katanya.

Friday, May 15, 2009

Mat Rempit : 6 bulan koma tidak insaf




Berbohong jadi amalan mat rempit, keluarga terlalu mudah diperdaya

SOAL patah riuk tidak pernah ada dalam kamus diri mat rempit. Hanya maut menjadi penamat kepada usaha sia-sia mereka yang saban malam berlumba motosikal hanya untuk sedikit habuan membabitkan pertaruhan kecil.

Pertaruhan besar hanya untuk malam minggu yang menyaksikan perempuan bohsia menjadi hadiah untuk pemenang lumba haram, selain wang.

Hakikatnya, soal patah kaki atau cedera parah akibat jatuh motosikal ketika berlumba tidak sedikitpun menakutkan mat rempit, apatah lagi kehadiran polis yang cuba menyekat laluan perlumbaan mereka lebih dilihat sebagai marsyal untuk melancarkan lagi perlumbaan mereka.

“Saya menerima 69 jahitan dan setahun dirawat di hospital selepas jatuh ketika berlumba di Seksyen 19, Shah Alam. Enam bulan saya koma, tiga bulan hilang ingatan dan tiga bulan lagi belajar menggerakkan anggota badan untuk pulih semula.

“Kejadian itu tidak menginsafkan saya supaya tidak lagi merempit. Hanya selepas melihat rakan baik saya bertarung dengan maut akibat motosikalnya bergesel dengan pembahagi jalan dan serpihan motosikal menghiris jantungnya, barulah saya insaf,” kata bekas mat rempit, Mohamad Zahari Sulaiman.



Beliau yang kini menjangkau usia 30 tahun, mengakui sudah merempit sejak berusia 14 tahun selepas seronok melihat perlumbaan haram di sekitar kediamannya.

“Mula-mula melihat dari jauh saja dan mula berminat berlumba motosikal selepas berkenalan dengan kelompok mat rempit. Selepas mendapat lesen motosikal, saya ambil keputusan berlumba sama,” katanya yang mengimbas detik bergelar mat rempit pada 1992.

Dia yang ketika itu menunggang motosikal jipang tidak gentar menyahut cabaran pelumba haram lain yang jauh lebih tua daripada usianya.

Pertaruhan pada waktu itu, kata Mohamad Zahari tidak membabitkan perempuan tetapi bersetuju motosikal bersama geran dibakar sekiranya tewas berlumba.

Mohamad Zahari Sulaiman (atas) dan Faizal Hasyim.

“Wang pertaruhan pada ketika itu mencapai RM6,000 daripada kutipan ahli kumpulan yang bersetuju untuk berlumba,” katanya.

Selama dua tahun Zahari menyembunyikan kegiatan sia-sia itu daripada pengetahuan keluarga. Keluarganya tidak mengesyaki apa-apa kerana setiap kali kalah bertanding dan pulang tanpa motosikal, dia memberi alasan kenderaannya itu dicuri.

“Berbohong menjadi amalan dan keluarga pula percaya. Selepas membuat laporan polis dan berjaya mendapatkan tuntutan insurans, saya akan beli motosikal baru,” katanya yang kini kehilangan limpa kanannya selepas menjalani enam pembedahan.

Bagi Faizal Hasyim, 23, dia hanya mengambil keputusan berhenti daripada merempit selepas sedar perbuatannya itu tidak ubah mengundang ‘mati katak’, apatah lagi dua kali dia hampir menemui ajal.

Kemalangan pertama dialami ketika berlumba di bulatan Jalan Pahang, di sini pada jam 5 pagi ketika berusia 18 tahun, menyebabkan dia patah kaki dan menerima lebih 30 jahitan, sekali gus terpaksa bertongkat selama setahun.

kejadian kedua berlaku sebaik dia boleh berjalan semula apabila terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika melakukan aksi ‘cilok-mencilok’ di jalan sesak. Akibatnya, dahinya berparut dan dia tersembam di atas kereta.

Faizal bergelumang dengan dunia merempit lima tahun lalu kerana ingin mencuba keseronokan berlumba seperti digembar-gemburkan rakan-rakan sekolahnya.

Motosikal yang dihadiahkan ibu bapanya bagi memudahkan dia ke sekolah disalahgunakan untuk tujuan berlumba pada malam minggu.

“Ketika itu saya hanya fikir untuk berseronok dan sentiasa mencari jalan supaya dapat menyertai perlumbaan pada malam minggu,” katanya.

Faizal berkata, keluarganya tidak pernah melarang dia keluar rumah pada waktu malam kerana terpedaya dengan kelakuan baik yang ditonjolkannya, selain dia bijak menyembunyikan kegiatannya dengan memberi pelbagai alasan untuk keluar malam, termasuk mengadakan diskusi berkumpulan,” katanya.

“Selalunya, saya beritahu mahu menginap di rumah kawan untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya yang mengakui imej baiknya di rumah dengan memastikan setiap kerja dan tugasan sekolah dibereskan sebelum keluar berjaya ‘menipu’ ibu bapanya.

INFO: Cadangan kawal mat rempit

  • 4 Mei 2009
    Mat Rempit yang disabitkan kesalahan berlumba secara haram akan dihukum penjara dan denda, masing-masing lebih lima tahun dan RM15,000 melalui pindaan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

  • 7 November 2008
    Kementerian Pengangkutan sedia kaji cadangan menempatkan anggota penguat kuasa JPJ bertugas 24 jam di beberapa lokasi tumpuan mat rempit.

  • 31 Oktober 2008
    Polis akan kaji larangan penggunaan motosikal dalam kawasan bandar untuk elak kejadian ragut dan mat rempit daripada berleluasa.
  • 10 kali gugur anak



    KUALA LUMPUR: Biarpun baru berusia belasan tahun, seorang remaja bukan saja sanggup melakukan hubungan seks dengan lebih lima lelaki serentak, malah melayan nafsu warga emas seusia bapanya hingga mendapat gelaran Ratu Bohsia.

    Namun, gadis berkenaan tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya kerana gelagat liarnya didorong pengalaman hitam selepas dinodai datuk sendiri menyebabkannya ketagih mengulangi perbuatan terkutuk itu.

    Demi memuaskan nafsu gila selain membalas dendam terhadap perbuatan datuk yang mengaibkannya, dia mula belajar meneguk minuman keras seawal usia 12 tahun dan mengikut lelaki hidung belang ke hotel murah untuk melakukan hubungan seks walaupun baru beberapa jam berkenalan.

    Disebabkan keghairahannya itu, gadis terbabit mendakwa menggugurkan kandungan lebih 10 kali sepanjang tempoh dia merelakan tubuhnya ‘diratah’, termasuk di kalangan Mat Rempit sehingga digelar Ratu Bohsia di kalangan pelumba haram.


    Pengalaman gadis terbabit didedahkan kepada wartawan Harian Metro bukan untuk memalukan mana-mana pihak, sebaliknya pedoman kepada remaja perempuan yang baru mengenali dunia dan mengelak mereka menjadi alat pemuas nafsu lelaki ‘syaitan’ terutama Mat Rempit.

    Gadis yang ingin dikenali sebagai Masliza, 20, berkata kehidupannya mula berubah selepas dia dinodai datuknya sendiri menyebabkan dia lari meninggalkan rumah sebelum berkenalan dengan seorang Mat Rempit.

    Menurutnya, dia menghilangkan diri selepas berang dengan sikap ibu bapanya tidak mempercayai aduan bahawa dia dirogol datuk sendiri.

    “Setiap malam minggu, kami akan keluar merempit dan menonton aksi liar Mat Rempit di sekitar ibu kota menunjukkan kehebatan masing-masing.

    “Saya puas kerana dapat mengenali ramai ‘kaki rempit’ berhati batu dan kagum mereka tidak mempunyai perasaan takut serta sayang kepada nyawa sendiri ketika melakukan aksi di jalan raya,” katanya.

    Selepas seketika berkenalan, teman lelakinya mula menunjukkan wajah sebenar apabila menyerahkannya kepada rakan untuk ‘dipakai’ secara beramai-ramai.

    Demi menjaga imej di kalangan Mat Rempit terbabit, katanya, dia terpaksa menyerahkan kesucian dirinya.

    Sejak itu, Masliza berkata, dia sering menjadi habuan puluhan Mat Rempit di hotel murah, rumah sewa mahupun dalam kereta menyebabkannya ketagih untuk melakukan hubungan seks.

    Masliza mengakui pernah melakukan hubungan seks dengan lima lelaki dalam satu bilik hotel serentak.

    “Ia pengalaman hitam yang menakutkan, namun saya melakukannya untuk membalas dendam terhadap keluarga yang menganiaya saya, terutama datuk. Lama-kelamaan ia menjadi hobi dan keseronokan kepada diri sendiri.

    “Saya lari dari rumah kerana tidak dapat menerima kenyataan dirogol datuk sendiri serta dihantui masalah keluarga yang tidak berkesudahan.

    “Keluarga saya bermasalah, ibu bapa sering bertengkar dan mungkin disebabkan itu kebajikan dan tanggungjawab mereka terhadap saya terabai,” katanya.

    Bagaimanapun, Masliza diselamatkan seorang individu tidak dikenalinya yang menghantarnya ke hospital selepas didapati tidak sedarkan diri gara-gara cuba menggugurkan kandungan.

    Dia mendakwa sedang diburu ahli keluarganya kerana mengadu mengenai peristiwa hitam dinodai datuknya sendiri beberapa tahun lalu kepada pihak berkuasa supaya menarik balik laporan itu.

    Bagaimanapun, dia kini selamat dalam jagaan sebuah pusat perlindungan dan pemulihan akhlak dan difahamkan sedang berusaha melupakan peristiwa malang itu.

    Sementara itu, Pengurus dan Pakar Motivasi Didik Diri Resource, Ahmadi Baharudin, berkata Masliza sedang melalui proses pemulihan di pusat pemulihannya.

    “Kami yakin dengan program sedia ada dapat membantunya memulihkan semula keyakinan diri ketika berdepan dengan masyarakat selain membina semula imej. Dia kini ibarat sedang ‘dilahirkan’ semula.

    “Saya cukup terkilan dengan sikap segelintir ibu bapa yang tidak memandang serius aduan anak mereka kerana terlalu sibuk mengejar kebendaan walaupun perkara itu benar-benar berlaku,” katanya.

    Menurut Ahmadi, masalah keluarga penyebab utama kepada keruntuhan akhlak remaja pada zaman ini.

    “Peningkatan kes seumpama itu cukup membimbangkan. Ibu bapa bukan saja perlu mendidik anak dengan ajaran agama yang cukup, malah mengikuti perkembangan mereka. Sikap lepas tangan akan menyebabkan masalah terus menghantui kita semua,” katanya.


    11 lelaki ditahan dalam operasi kes ragut ibu hamil

    PASIR GUDANG: Seramai 11 lelaki termasuk dua daripadanya warga Indonesia ditahan di sekitar Ayer Hitam, dekat sini, dalam usaha polis mengesan suspek yang dipercayai terbabit kes ragut sehingga menyebabkan seorang wanita hamil dua bulan, Jamilah Selamat, 31, meninggal dunia Selasa lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata menerusi operasi besar-besaran membabitkan pasukan khas serta anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, pihaknya menahan sembilan lelaki dipercayai penagih dadah, malam kelmarin.

    “Manakala kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam), kami menahan dua warga Indonesia dan merampas parang, empat telefon bimbit dan komponen motosikal dan telefon bimbit yang akan ditunjukkan kepada keluarga mangsa untuk pengecaman.

    “Sehubungan itu, saya menggesa orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu polis.


    “Jangan hanya pandai bercakap atau mendakwa, tetapi tidak berani tampil dan saya memberi jaminan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

    “Masyarakat ada tanggungjawab untuk membanteras jenayah, jadi saya harap orang ramai berani tampil untuk menyalurkan maklumat kerana kami memerlukan maklumat dan bukti untuk menangkap sekali gus mendakwa penjenayah,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Permuafakatan Tindakan antara Jabatan Pelajaran Johor dengan Polis Johor di Tanjung Puteri Golf Resort di sini, petang semalam.


    Tersungkur tarik baju peragut

    CEDERA...Sheron menceritakan pengalaman bergelut dengan peragut.
    CEDERA...Sheron menceritakan pengalaman bergelut dengan peragut.

    JOHOR BAHRU: Seorang pelajar perempuan tersungkur di atas jalan raya ketika menarik baju pembonceng motosikal yang meragut telefon bimbitnya di Jalan Api-Api, Taman Megah Ria di sini, petang kelmarin.

    Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, seorang daripada peragut itu dicekup manakala seorang lagi melarikan diri selepas kedua-duanya terjatuh berikutan motosikal mereka digesel kereta dinaiki dua beradik, Mohd Hasni Hassan, 27, dan Siti Roslina, 34, yang menyaksikan insiden berkenaan.

    Mengimbas kejadian itu, mangsa, Sheron Tan, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Megah Ria, berkata ketika itu, dia dalam perjalanan balik dari kelas tambahan di sekolah ke rumahnya di taman berkenaan, kira-kira jam 5 petang.

    “Jarak antara rumah saya dengan sekolah kira-kira satu kilometer, sampai di simpang Jalan Ketapang ke Jalan Api-Api, saya periksa telefon bimbit kerana menerima SMS.


    “Ketika itu, saya perasan dua lelaki menaiki motosikal memerhatikan saya, tetapi saya tidak mempedulikan mereka,” katanya.

    Tiba-tiba, katanya, lelaki terbabit menghampirinya dan berkata ‘amoi, boleh minta nombor telefon bimbit’ sebelum dia menjawab ‘lain kali.’

    “Bagaimanapun, lelaki yang membonceng motosikal itu turun dari kenderaan itu dan memeluk saya dari belakang kerana mahu merampas telefon bimbit saya.

    “Saya cuba melawan, tetapi lelaki itu merampas telefon bimbit saya dan naik semula ke motosikal ditunggang rakannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di taman berkenaan, petang semalam.

    Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, berikutan geram kerana melihat kedua-dua lelaki terbabit mahu melarikan diri, dia mencampakkan buku sebelum mengejar dan menarik baju pembonceng sebelum motosikal itu bergerak sambil tangan kanannya terus berpaut pada baju lelaki itu.

    Bagaimanapun, selepas beberapa langkah dan tidak mampu menyaingi kelajuan motosikal berkenaan, dia tersungkur di atas jalan dan mengalami kesakitan di beberapa bahagian badan serta tidak larat untuk bangun.

    “Kebetulan, ibu seorang rakan sekolah saya melalui kawasan itu dan mengangkat saya sebelum terus menghantar saya pulang ke rumah,” katanya.


    Thursday, May 14, 2009

    Pembunuh suami dihukum gantung

    KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dan sepupu lelakinya yang menghadapi tuduhan membunuh suaminya, lima tahun lalu, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas didapati bersalah melakukan kesalahan itu.

    Hakim Datuk Zaharah Ibrahim menjatuhkan hukuman terhadap Shamim Bano Mohammed Farooque, 41 dan sepupunya, Javeed Akhtar Abdul Waheed, 39, seorang operator mesin, kedua-duanya warga India, selepas didapati bersalah membunuh pengarah urusan sebuah kilang kitar semula plastik, Reyaz Ahmad Maruf, 39.

    Perbicaraan kes itu dikenali sebagai ‘pembunuhan kari’ berikutan mangsa dipercayai diberi pil tidur atau dadah ke dalam masakan kari bagi hidangan berbuka puasa sebelum dibunuh.

    Ketika membacakan keputusannya, Zaharah berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu dan pendakwaan berjaya membuktikan tuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.

    “Oleh itu, kedua-dua kamu (tertuduh) disabitkan atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan akan dijatuhi hukuman mati. Mahkamah dengan ini memerintahkan kamu berdua digantung di leher sehingga mati,” katanya.

    Sejurus selepas mendengar keputusan itu, Shamim yang berbaju kurung dan tudung kuning tunduk serta menangis, manakala Javeed kelihatan sebak.

    Shamim dan Javeed, masing-masing didakwa bersama-sama membunuh Reyaz di rumah nombor 20, Jalan 4/12 G, Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi di sini, antara jam 10 malam, 7 November dan jam 3 pagi, 8 November 2004.

    Pada 21 November 2008, mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh membela diri atas tuduhan itu. Shamim memilih untuk memberi keterangan pembelaan dari kandang tertuduh, manakala Javeed dari kandang saksi.

    Ibu kepada empat anak dalam keterangannya pada 20 Mac lalu, memberitahu mahkamah suaminya dibunuh oleh Javeed bersama-sama rakannya Ayub Khan serta seorang lagi lelaki.

    Shamim berkata, ketika kejadian dia terdengar bunyi kuat dari bilik tidur suaminya dan sebaik tiba di situ, dia melihat tiga lelaki itu menutup mulut dan hidung mangsa dengan pita pelekat sebelum mencekik lehernya dengan wayar.

    Javeed pula dalam keterangannya pada 22 April lalu, menafikan dia membunuh Reyaz dan menyatakan Shamim yang menghubunginya bagi meminta bantuannya untuk menanam mayat mangsa.

    berita harian

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...