Friday, May 15, 2009

11 lelaki ditahan dalam operasi kes ragut ibu hamil

PASIR GUDANG: Seramai 11 lelaki termasuk dua daripadanya warga Indonesia ditahan di sekitar Ayer Hitam, dekat sini, dalam usaha polis mengesan suspek yang dipercayai terbabit kes ragut sehingga menyebabkan seorang wanita hamil dua bulan, Jamilah Selamat, 31, meninggal dunia Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata menerusi operasi besar-besaran membabitkan pasukan khas serta anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, pihaknya menahan sembilan lelaki dipercayai penagih dadah, malam kelmarin.

“Manakala kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam), kami menahan dua warga Indonesia dan merampas parang, empat telefon bimbit dan komponen motosikal dan telefon bimbit yang akan ditunjukkan kepada keluarga mangsa untuk pengecaman.

“Sehubungan itu, saya menggesa orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu polis.


“Jangan hanya pandai bercakap atau mendakwa, tetapi tidak berani tampil dan saya memberi jaminan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

“Masyarakat ada tanggungjawab untuk membanteras jenayah, jadi saya harap orang ramai berani tampil untuk menyalurkan maklumat kerana kami memerlukan maklumat dan bukti untuk menangkap sekali gus mendakwa penjenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Permuafakatan Tindakan antara Jabatan Pelajaran Johor dengan Polis Johor di Tanjung Puteri Golf Resort di sini, petang semalam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...