Kekalahan di Madrid tak jejas sasaran buru trofi kelima Terbuka Perancis
MADRID: Rafael Nadal menepis kekalahannya dalam final tenis Madrid Masters kepada Roger Federer, kelmarin dan menegaskan rasa kecewa itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada usahanya tampil menjulang trofi kejuaraan Terbuka Perancis buat merakamkan rekod kejayaan kelima berturut-turut.
Pemain nombor satu dunia itu menyaksikan rentetan 33 kemenangan di atas gelanggang tanah liat ditamatkan dalam kekalahan berat sebelah 6-4, 6-4 kepada musuh ketatnya itu dalam pertemuan kerjaya ke-20 bagi pasangan ini.
Tetapi Nadal, yang menang empat kejuaraan terakhir Terbuka Perancis dan tidak pernah dikalahkan di Paris, percaya gelanggang Roland Garros yang perlahan akan lebih sesuai dengan dirinya.
“Ini tidak memberi apa-apa makna di Paris, ia permukaan yang cukup berbeza,” kata Nadal yang menewaskan Federer dalam tiga final terakhir Terbuka Perancis.
“Dia lebih baik berbanding saya (di Madrid kelmarin) dan berhak untuk menang, tetapi gelanggang lebih pantas dan itu membantunya. Saya bermain pukulan terlalu pendek, melakukan banyak kesilapan dan dia mengambil kesempatan sepenuhnya.”
Bagi Federer, kemenangan kelmarin satu rangsangan tepat dalam kempennya untuk menjulang Terbuka Perancis yang sentiasa terlepas dari genggamannya.
Kemenangannya itu menamatkan rentetan kekalahan lima perlawanan, 18 bulan menentang pemain Sepanyol itu, termasuk tiga final Grand Slam - Terbuka Perancis dan Wimbledon serta Terbuka Australia, tahun ini.
Ia turut menamatkan rentetan 33 kemenangan Nadal di atas gelanggang tanah liat, rentetan yang bermula setahun lalu di Rome di pusingan kedua pada 2008. - AFP
INFO
Ranking tenis ATP
1 Rafael Nadal (ESP) 14,960 mata
2 Roger Federer (SUI) 10,470
3 Andy Murray (GBR) 9020
4 Novak Djokovic (SRB) 8830
5 Juan Martin Del Potro (ARG) 4830
6 Andy Roddick (USA) 4220
7 Gilles Simon (FRA) 4050
8 Fernando Verdasco (ESP) 3830
9 Jo-Wilfried Tsonga (FRA) 3430
10 Nikolay Davydenko (RUS) 3205