ROME: Lazio menewaskan Sampdoria 6-5 menerusi penalti untuk merangkul gelaran Piala Itali selepas final di Stadio Olimpico berkesudahan 1-1 sesudah tambahan masa, kelmarin.
Penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera menyelamatkan usaha dari Antonio Cassano dan Hugo Campagnaro sebelum Ousmane Dabo menjaringkan gol dalam kotak penalti bagi memberikan skuad dari Rome itu kejayaan kelima Piala Itali dan tempat ke Liga Eropah.
Kapten Tommaso Rocchi, pemain gantian pada babak kedua, menjadi pemain tunggal Lazio terlepas sepakan penalti.
“Saya rasa ia adalah ganjaran buat pemain selepas setahun berkorban,” kata jurulatih Lazio, Delio Rossi kepada televisyen Rai. “Saya amat gembira.”
Penyerang Argentina, Mauro Zarate meletakkan Lazio di depan pada minit kelima selepas dia melarikan bola ke dalam kotak penalti dan melepaskan sepakan deras kaki kanan ke penjuru gawang.
Giampaolo Pazzini menyamakan kedudukan selepas 31 minit apabila dia menyambar hantaran lintang selepas tandukan Marius Stankevicius dari sepakan Antonio Cassano terus ke gawang.
Lazio cuba mencari kelebihan pada babak kedua tetapi pertahanan Samp melakukan tugas dengan baik untuk menyerap bahaya daripada tindakan Zarate dan Goran Pandev sebelum Pasquale Foggia melayangkan voli dari posisi terbaik pada babak berkenaan.
Sampdoria hampir mencipta kejayaan pada babak kedua tambahan masa menerusi cubaan Cassano tetapi bola terkeluar.
“Ia adalah final yang berbaloi. Kami dan Lazio menghormatinya,” kata jurulatih Samp, Walter Mazzarri.
“Kami bersedih buat penyokong kami, tetapi itulah kedaannya.
Itulah bola sepak. Itulah kehidupan.” - Reuters