PHELPS membuktikan dia sudah melupakan peristiwa memalukan apabila tersiar gambarnya menghisap ganja. |
Pecah rekod sendiri dicipta tiga tahun lalu
CHARLOTTE (Carolina Utara): Dalam final renang pertamanya sejak Sukan Olimpik Beijing, Michael Phelps memang kedua-duanya dalam tempoh kurang sejam pada kejohanan Charlotte UltraSwim, kelmarin.
Phelps menang acara gaya bebas 200 meter dalam masa satu minit 46.02 saat dan acara 100m kupu-kupu dengan mencatatkan 51.72s.
Dalam kedua-dua perlumbaan, Phelps mudah memecahkan rekod kejohanan yang dicatatkan tiga tahun lalu tanpa perlu bercukur serta memakai baju renang model 2004 — yang dianggap antik dalam dunia renang yang pantas berubah.
Atlit yang paling banyak memenangi pingat Olimpik itu kembali ke kolam renang sembilan bulan selepas Beijing, membuktikan dia sudah melupakan peristiwa memalukan apabila tersiar gambarnya menghisap ganja.
“Saya begitu teruja,” kata Phelps. “Tidak peduli apa saya rasa, saya cukup seronok untuk berlumba. Itu yang paling penting. Saya masih mempunyai keinginan dan semangat untuk berlumba.”
Jurulatih Bob Bowman, antara pengkritik Phelps yang paling lantang, agak terkejut apabila melihat catatan masa anak didiknya itu.
Sebelum ini, dia berpendapat Phelps sudah cukup baik untuk berenang dalam 200m gaya bebas dalam catatan 1 minit 48 saat. Sebaliknya, perenang ini dua saat lebih pantas.
Dalam acara kupu-kupu, Phelps mencatatkan 24.6s pada pusingan pertama dan melakukan 27.1s menuju tembok penamat bagi keseluruhan masa 51.72s.
“Dari segi mental, dia yang terbaik,” kata Bowman. “Kita selalu menyatakan mengenai keadaan fizikalnya yang sentiasa ada tetapi yang lebih ialah cara dia mendekati perlumbaan, cara otaknya berfungsi dalam pertandingan. Itulah cara yang anda ingin melihat setiap perenang berfikir.” - AP