sukan@hmetro.com.my
cabaran Malaysia." title="PERSEMBAHAN TERPUJI...Boon Heong dan Kien Keat hidupkan cabaran Malaysia." width="300" border="0" height="282"> |
PERSEMBAHAN TERPUJI...Boon Heong dan Kien Keat hidupkan cabaran Malaysia. |
ADA berita gembira dibawakan dari Gimnasium Guangzhou, China, malam tadi.
Skuad badminton negara melakar sejarah tersendiri apabila dalam percubaan kali ke-11, akhirnya penantian untuk menyaksikan Malaysia beradu nasib pada peringkat separuh akhir Piala Sudirman menjadi kenyataan.
Kemenangan 3-2 ke atas juara Eropah, Denmark, melengkapkan minggu bermakna buat skuad itu sekalipun sekadar menduduki tangga kedua di belakang Korea Selatan dalam Kumpulan 1A.
Namun halangan paling sukar bakal ditemui esok apabila anak buah Rashid Sidek berdepan juara bertahan yang juga tuan rumah, China pada separuh akhir.
Di atas kertas, bukan mudah untuk merobek kekebalan kubu Negara Tembok Besar yang menjuarai Piala Sudirman enam kali dengan kali terakhir di Glasgow, Scotland dua tahun lalu.
Bagaimanapun, sekelumit pujian harus dihamburkan buat skuad negara yang menepati ramalan awal untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama, kerana Malaysia diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan di belakang Denmark, Indonesia dan China.
Pilihan pertama Denmark, tanpa pemain perseorangan utama Peter Gade dan Tine Rasmussen, seolah-olah pincang tapi pujian harus diberikan terhadap beregu lelaki negara Koo Kien Keat- Tan Boon Heong yang meraih mata kedua sekali gus menghidupkan peluang Malaysia.
Wong Mew Choo, perseorangan wanita negara, mudah mengutip mata kemenangan sesudah mengalahkan Nanna Brosolat Jensen 21-8, 21-11 dalam 24 minit.
Terdahulu, Malaysia kehilangan mata pertama apabila beregu campuran Fairuzizuan Tazari-Wong Pei Tty tidak terdaya menyekat Thomas Laybourn-Kamilla Rytter Juhl yang menang 21-17, 24-22.
Pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei menyamakan kedudukan membenam cabaran Jan O Jorgensen 21-11, 21-18 dalam tempoh 34 minit sebelum Kien Keat-Boon Heong menang mudah ke atas beregu veteran Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen 21-9, 21-14.
Kekalahan beregu wanita, Chin Eei Hui dan Pei Tty di tangan Juhl dan Lena Frier Kristiansen 11-21, 21-16, 11-21 pada perlawanan terakhir tidak memberi sebarang kesan kerana ketika itu tempat Malaysia di separuh akhir sudah terjamin.