Friday, May 15, 2009

Mat Rempit : 6 bulan koma tidak insaf




Berbohong jadi amalan mat rempit, keluarga terlalu mudah diperdaya

SOAL patah riuk tidak pernah ada dalam kamus diri mat rempit. Hanya maut menjadi penamat kepada usaha sia-sia mereka yang saban malam berlumba motosikal hanya untuk sedikit habuan membabitkan pertaruhan kecil.

Pertaruhan besar hanya untuk malam minggu yang menyaksikan perempuan bohsia menjadi hadiah untuk pemenang lumba haram, selain wang.

Hakikatnya, soal patah kaki atau cedera parah akibat jatuh motosikal ketika berlumba tidak sedikitpun menakutkan mat rempit, apatah lagi kehadiran polis yang cuba menyekat laluan perlumbaan mereka lebih dilihat sebagai marsyal untuk melancarkan lagi perlumbaan mereka.

“Saya menerima 69 jahitan dan setahun dirawat di hospital selepas jatuh ketika berlumba di Seksyen 19, Shah Alam. Enam bulan saya koma, tiga bulan hilang ingatan dan tiga bulan lagi belajar menggerakkan anggota badan untuk pulih semula.

“Kejadian itu tidak menginsafkan saya supaya tidak lagi merempit. Hanya selepas melihat rakan baik saya bertarung dengan maut akibat motosikalnya bergesel dengan pembahagi jalan dan serpihan motosikal menghiris jantungnya, barulah saya insaf,” kata bekas mat rempit, Mohamad Zahari Sulaiman.



Beliau yang kini menjangkau usia 30 tahun, mengakui sudah merempit sejak berusia 14 tahun selepas seronok melihat perlumbaan haram di sekitar kediamannya.

“Mula-mula melihat dari jauh saja dan mula berminat berlumba motosikal selepas berkenalan dengan kelompok mat rempit. Selepas mendapat lesen motosikal, saya ambil keputusan berlumba sama,” katanya yang mengimbas detik bergelar mat rempit pada 1992.

Dia yang ketika itu menunggang motosikal jipang tidak gentar menyahut cabaran pelumba haram lain yang jauh lebih tua daripada usianya.

Pertaruhan pada waktu itu, kata Mohamad Zahari tidak membabitkan perempuan tetapi bersetuju motosikal bersama geran dibakar sekiranya tewas berlumba.

Mohamad Zahari Sulaiman (atas) dan Faizal Hasyim.

“Wang pertaruhan pada ketika itu mencapai RM6,000 daripada kutipan ahli kumpulan yang bersetuju untuk berlumba,” katanya.

Selama dua tahun Zahari menyembunyikan kegiatan sia-sia itu daripada pengetahuan keluarga. Keluarganya tidak mengesyaki apa-apa kerana setiap kali kalah bertanding dan pulang tanpa motosikal, dia memberi alasan kenderaannya itu dicuri.

“Berbohong menjadi amalan dan keluarga pula percaya. Selepas membuat laporan polis dan berjaya mendapatkan tuntutan insurans, saya akan beli motosikal baru,” katanya yang kini kehilangan limpa kanannya selepas menjalani enam pembedahan.

Bagi Faizal Hasyim, 23, dia hanya mengambil keputusan berhenti daripada merempit selepas sedar perbuatannya itu tidak ubah mengundang ‘mati katak’, apatah lagi dua kali dia hampir menemui ajal.

Kemalangan pertama dialami ketika berlumba di bulatan Jalan Pahang, di sini pada jam 5 pagi ketika berusia 18 tahun, menyebabkan dia patah kaki dan menerima lebih 30 jahitan, sekali gus terpaksa bertongkat selama setahun.

kejadian kedua berlaku sebaik dia boleh berjalan semula apabila terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika melakukan aksi ‘cilok-mencilok’ di jalan sesak. Akibatnya, dahinya berparut dan dia tersembam di atas kereta.

Faizal bergelumang dengan dunia merempit lima tahun lalu kerana ingin mencuba keseronokan berlumba seperti digembar-gemburkan rakan-rakan sekolahnya.

Motosikal yang dihadiahkan ibu bapanya bagi memudahkan dia ke sekolah disalahgunakan untuk tujuan berlumba pada malam minggu.

“Ketika itu saya hanya fikir untuk berseronok dan sentiasa mencari jalan supaya dapat menyertai perlumbaan pada malam minggu,” katanya.

Faizal berkata, keluarganya tidak pernah melarang dia keluar rumah pada waktu malam kerana terpedaya dengan kelakuan baik yang ditonjolkannya, selain dia bijak menyembunyikan kegiatannya dengan memberi pelbagai alasan untuk keluar malam, termasuk mengadakan diskusi berkumpulan,” katanya.

“Selalunya, saya beritahu mahu menginap di rumah kawan untuk mengulang kaji pelajaran,” katanya yang mengakui imej baiknya di rumah dengan memastikan setiap kerja dan tugasan sekolah dibereskan sebelum keluar berjaya ‘menipu’ ibu bapanya.

INFO: Cadangan kawal mat rempit

  • 4 Mei 2009
    Mat Rempit yang disabitkan kesalahan berlumba secara haram akan dihukum penjara dan denda, masing-masing lebih lima tahun dan RM15,000 melalui pindaan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

  • 7 November 2008
    Kementerian Pengangkutan sedia kaji cadangan menempatkan anggota penguat kuasa JPJ bertugas 24 jam di beberapa lokasi tumpuan mat rempit.

  • 31 Oktober 2008
    Polis akan kaji larangan penggunaan motosikal dalam kawasan bandar untuk elak kejadian ragut dan mat rempit daripada berleluasa.
  • Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...