Hakim Datuk Zaharah Ibrahim menjatuhkan hukuman terhadap Shamim Bano Mohammed Farooque, 41 dan sepupunya, Javeed Akhtar Abdul Waheed, 39, seorang operator mesin, kedua-duanya warga India, selepas didapati bersalah membunuh pengarah urusan sebuah kilang kitar semula plastik, Reyaz Ahmad Maruf, 39.
Perbicaraan kes itu dikenali sebagai ‘pembunuhan kari’ berikutan mangsa dipercayai diberi pil tidur atau dadah ke dalam masakan kari bagi hidangan berbuka puasa sebelum dibunuh.
Ketika membacakan keputusannya, Zaharah berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu dan pendakwaan berjaya membuktikan tuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.
“Oleh itu, kedua-dua kamu (tertuduh) disabitkan atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan akan dijatuhi hukuman mati. Mahkamah dengan ini memerintahkan kamu berdua digantung di leher sehingga mati,” katanya.
Sejurus selepas mendengar keputusan itu, Shamim yang berbaju kurung dan tudung kuning tunduk serta menangis, manakala Javeed kelihatan sebak.
Shamim dan Javeed, masing-masing didakwa bersama-sama membunuh Reyaz di rumah nombor 20, Jalan 4/12 G, Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi di sini, antara jam 10 malam, 7 November dan jam 3 pagi, 8 November 2004.
Pada 21 November 2008, mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh membela diri atas tuduhan itu. Shamim memilih untuk memberi keterangan pembelaan dari kandang tertuduh, manakala Javeed dari kandang saksi.
Ibu kepada empat anak dalam keterangannya pada 20 Mac lalu, memberitahu mahkamah suaminya dibunuh oleh Javeed bersama-sama rakannya Ayub Khan serta seorang lagi lelaki.
Shamim berkata, ketika kejadian dia terdengar bunyi kuat dari bilik tidur suaminya dan sebaik tiba di situ, dia melihat tiga lelaki itu menutup mulut dan hidung mangsa dengan pita pelekat sebelum mencekik lehernya dengan wayar.
Javeed pula dalam keterangannya pada 22 April lalu, menafikan dia membunuh Reyaz dan menyatakan Shamim yang menghubunginya bagi meminta bantuannya untuk menanam mayat mangsa.
berita harian