Friday, May 15, 2009

History-making Malaysia in semis

Temu China tanpa kelibat Eei Hui

Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my


PEI Tty (kiri) turun tanpa Eei Hui (kanan) yang mengalami kecederaan selepas berhempas pulas ketika menentang Denmark.

Jejas peluang curi mata beregu lawan China

DI sebalik gembira melangkah ke separuh akhir, ada gelisah menyelubungi skuad negara ketika bersiap untuk menghadapi China pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Guangzhou, malam ini.

Kerana 'harga' dibayar ketika kemenangan 3-2 ke atas Denmark dalam pertemuan terakhir Kumpulan 1A buat menjamin tempat dalam kelompok empat pasukan terbaik itu ialah hilangnya khidmat pakar beregu wanita negara, Chin Eei Hui.

Eei Hui disahkan mengalami kecederaan pangkal paha ketika berganding dengan Wong Pei Tty dan kecundang di tangan pasangan Denmark, Kamilla Rytter Juhl-Lena Frier Kristiansen 10-21, 21-16, 11-21.

"Ketiadaan Eei Hui bermakna peluang untuk mencuri mata dalam acara beregu wanita tampak sudah berakhir. Ia memang menyukarkan lagi tugas kami yang sememangnya sudah berat," kata ketua jurulatih beregu, Rexy Mainaky.

Satu-satunya pilihan yang ada buat Rexy ketika ini ialah menggandingkan Pei Tty dengan Ng Hui Lin � yang bakal membuat kemunculan sulungnya pada kejohanan itu.

Turut perlu difikirkannya ialah sama ada terus memberi tugas dalam beregu campuran kepada Pei Tty ataupun memberikannya rehat dengan memilih Hui Lin untuk memikul tanggungjawab itu.

"Saya belum putuskan sama ada mahu menurunkan Pei Tty ataupun Hui Lin untuk dua acara. Kami perlu realistik bahawa untuk mengutip mata daripada beregu campuran, adalah sukar. Ketiadaan Eei Hui juga menidakkan harapan beregu wanita.

"Tetapi itu bukan bermakna kami akan mudah menyerah. Kami tetap ada peluang dan semangat berpasukan ketika ini juga amat bagus. (Lee) Chong Wei sentiasa boleh kami harapkan ketika (Wong) Mew Choo juga punya rekod bagus di China.

"Saya juga harapkan Koo (Kien Keat) dan Tan (Boon Heong) mampu meneruskan tahap persembahan baik mereka. Jika mereka mampu bangkit pada ketika diperlukan, kemenangan masih mampu dicapai," tegas Rexy.

Harapan sama disimpan ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek, biarpun China bakal membariskan pemain terbaik mereka untuk menjamin kemaraan ke final.

"Memang kami akui, China punya pemain yang mampu meraih mata dalam semua lima acara, berbanding tiga untuk kita. Tetapi ia bermakna kami masih ada peluang dan itulah yang akan diperjuangkan," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...