Friday, May 15, 2009

Saat ngeri buat Newcastle

NEWCASTLE: Beberapa tahun lalu, pelancaran jersi baru Newcastle United akan menjamin penyokongnya beratur panjang kerana tidak sabar menjadi orang pertama memakainya.

Waktu itu, Newcastle selalu berentap dalam kelompok utama bola sepak Liga Perdana, bermain dalam kempen Eropah dan dua kali beraksi dalam final Piala FA.

Namun keadaan sudah berubah sekarang. Di sebalik berjaya keluar daripada zon penyingkiran berbekal kemenangan ke atas Middlesbrough, Isnin lalu, Newcastle masih terbabit dalam pergelutan untuk mengelak daripada tersingkir.

Dan, sehari sebelum perlawanan mereka berikutnya menentang Fulham, reaksi hambar kepada satu lagi reka bentuk baru jersi pasukan adalah petunjuk bagaimana hubungan penyokong dengan kelab ini begitu tegang.

Ketika hanya peratusan kecil penonton akan memakai replika jersi baru pada pertarungan menentang Fulham, tahap sorakan akan menunjukkan semangat penyokong tidak pudar.

Kejayaan 3-1 ke atas Middlesbrough menyemarakkan kepercayaan penyokong bahawa Newcastle akan selamat daripada keciciran, walaupun mesej daripada pengurusnya, Alan Shearer adalah lebih berwaspada.

Di tengah-tengah kegembiraan kejayaan itu, Shearer pantas menegaskan ia hanya langkah sementara ke arah menyelamatkan diri.

Ia amaran yang turut dikongsi pemain Newcastle dalam persediaan menghadapi perlawanan terakhir mereka di tempat sendiri musim ini.

“Kemenangan ke atas Middlesbrough tidak membawa apa-apa makna jika kami tidak mendapatkan sesuatu ketika menentang Fulham. Kami perlu menang sekali lagi, tetapi kami membuktikan mampu melakukannya dalam tekanan menentang Middlesbrough,” kata pemain tengah, Kevin Nolan. - AFP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...