WARSAW: Selepas lebih 10 bulan berehat, Maria Sharapova kembali semula di gelanggang tenis dengan mencipta kemenangan menewaskan Tathiana Garbin dari Itali 6-1, 6-7 (6), 6-3 pada pusingan pertama Terbuka Warsaw, malam tadi.
"Saya amat teruja sekali untuk mencipta kemenangan pertama. Saya dahagakan kemenangan sejak tidak bermain beberapa lama," kata pemain muda Russia itu.
Kali terakhir Sharapova bermain pada Ogos lalu sebelum berehat panjang kerana dibelenggu masalah bahu kanannya.
Meskipun bahu berkenaan masih berbalut, perlawanan malam tadi menyaksikan tumpuan Sharapova terhadap tenis tidak terjejas walaupun dikerah bermain tiga set.
Pada perlawanan pertama, Sharapova terlebih dulu mengasak Garbin sehingga pada satu masa dia mendahului selesa 4-0.
Pada permainan kedua, dia mendahului dengan 5-3 tetapi masalah servis membelenggunya sehingga diheret permainan 'tie-break' sebelum menyerahkan set itu kepada Garbin.