Friday, May 15, 2009

Tersungkur tarik baju peragut

CEDERA...Sheron menceritakan pengalaman bergelut dengan peragut.
CEDERA...Sheron menceritakan pengalaman bergelut dengan peragut.

JOHOR BAHRU: Seorang pelajar perempuan tersungkur di atas jalan raya ketika menarik baju pembonceng motosikal yang meragut telefon bimbitnya di Jalan Api-Api, Taman Megah Ria di sini, petang kelmarin.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, seorang daripada peragut itu dicekup manakala seorang lagi melarikan diri selepas kedua-duanya terjatuh berikutan motosikal mereka digesel kereta dinaiki dua beradik, Mohd Hasni Hassan, 27, dan Siti Roslina, 34, yang menyaksikan insiden berkenaan.

Mengimbas kejadian itu, mangsa, Sheron Tan, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Megah Ria, berkata ketika itu, dia dalam perjalanan balik dari kelas tambahan di sekolah ke rumahnya di taman berkenaan, kira-kira jam 5 petang.

“Jarak antara rumah saya dengan sekolah kira-kira satu kilometer, sampai di simpang Jalan Ketapang ke Jalan Api-Api, saya periksa telefon bimbit kerana menerima SMS.


“Ketika itu, saya perasan dua lelaki menaiki motosikal memerhatikan saya, tetapi saya tidak mempedulikan mereka,” katanya.

Tiba-tiba, katanya, lelaki terbabit menghampirinya dan berkata ‘amoi, boleh minta nombor telefon bimbit’ sebelum dia menjawab ‘lain kali.’

“Bagaimanapun, lelaki yang membonceng motosikal itu turun dari kenderaan itu dan memeluk saya dari belakang kerana mahu merampas telefon bimbit saya.

“Saya cuba melawan, tetapi lelaki itu merampas telefon bimbit saya dan naik semula ke motosikal ditunggang rakannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di taman berkenaan, petang semalam.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, berikutan geram kerana melihat kedua-dua lelaki terbabit mahu melarikan diri, dia mencampakkan buku sebelum mengejar dan menarik baju pembonceng sebelum motosikal itu bergerak sambil tangan kanannya terus berpaut pada baju lelaki itu.

Bagaimanapun, selepas beberapa langkah dan tidak mampu menyaingi kelajuan motosikal berkenaan, dia tersungkur di atas jalan dan mengalami kesakitan di beberapa bahagian badan serta tidak larat untuk bangun.

“Kebetulan, ibu seorang rakan sekolah saya melalui kawasan itu dan mengangkat saya sebelum terus menghantar saya pulang ke rumah,” katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...