Hanya sekali di bawah kendalian Fergsuon, pada 1998-99, United meraih gelaran itu di gelanggang mereka Theatre of Dreams, manakala sembilan lagi dilakukan di gelanggang lawan atau melihat lawan mereka tumpas.
Perlawanan kelmarin jelas satu motivasi apabila United bangkit dari ketinggalan satu gol untuk menewaskan Wigan Athletic 2-1 untuk memberikan mereka hanya satu mata lagi ketika bertemu Arsenal, bagi menyamai rekod Liverpool dengan 18 kejuaraan.
Apa yang lebih penting, United pasti mahu mengelak ketegangan pada hari terakhir berdepan pasukan di ambang penyingkiran Hull City � jadual pertemuan yang hadir tiga hari sebelum saingan final Liga Juara-Juara Eropah bertemu Barcelona di Rome.
"Kami akan berdepan keadaan itu sama seperti pendekatan pada setiap perlawanan dan cuba untuk memenanginya," kata Ferguson mengenai pertemuan dengan Arsenal yang ditewaskan mereka 4-1 menerusi agregat pada separuh akhir Liga Juara-Juara baru-baru ini.
"Kami tahu mereka memiliki skuad yang bagus dan kami akan cuba beraksi baik." Arsenal tentu akan lebih bijak selepas dimalukan United dan kekalahan 4-1 di tempat sendiri kepada Chelsea, Ahad lalu yang meletakkan mereka kekal di tangga keempat dan berkemungkinan berdepan laluan penuh muslihat untuk Liga Juara-Juara musim depan.
Bagaimanapun, menurut bekas pertahanan United, Mikael Silvestre, skuad Gunners boleh menggunakan kunjungan ke Old Trafford untuk melihat petanda baru bagi saingan musim depan.
"Pertemuan Sabtu ini di United ialah peluang baik untuk membuktikan kepada diri kami sendiri bahawa kami memiliki apa yang diperlukan untuk bertarung dan berada di tangga terbaik liga untuk tahun depan," kata Silvestre kepada lawan web Arsenal (www.arsenal.com).