Saturday, May 16, 2009

Perlis kekal dahului Liga Super

Oleh Hussain Said, Harris Rajahdin, Kamudin Baharom, Bashah Zainol Abidin dan Rizar Mohd Noor
bhsukan@bharian.com.my


PERTAHANAN Kedah, Mohd Sabri Abu (kanan) berjaya menghalang asakan pemain Perak pada saingan Liga Super di Stadium Darulaman, malam tadi.

Skuad Merah Kuning terus ekori rapat Singa Utara untuk beri saingan

ANAK buah Irfan Bakti Abu Salim terus memastikan rentak kemenangan apabila menundukkan Kelantan 2-0 untuk mengumpul 35 mata dalam kancah Liga Super dengan Selangor kekal di tangga kedua selepas dipisahkan satu mata.

Di Stadium Utama Kangar, Perlis turun dengan tekad kekal memimpin liga dan Mohd Firdaus Faudzi berjaya meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-13 sebelum Nizaruddin Yusof menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-38.

Di Stadium Shah Alam, tuan rumah mensia-siakan deretan peluang termasuk tendangan percuma R Surendran di kotak penalti Pulau Pinang pada minit ke-35 sebelum akhirnya, Rudie Ramli muncul wira pada minit ke-58 buat Selangor.

Sementara itu, Kedah yang mula mendapat sentuhan, kekal di tempat ketiga apabila mengumpul 31 mata selepas menundukkan barisan pemain muda Perak 3-1 di Stadium Darulaman, malam tadi.

Benteng pertahanan Perak akhirnya roboh apabila Fauzi Shaari berjaya menjaringkan gol pada minit ke-35 menewaskan penjaga gol Perak, Kamarul Effendi dari jarak dekat dan pada minit ke-45, Shahrulnizam Mustapha, sekali lagi menghukum kealpaan benteng pelawat.

Mohd Khyril Muhymeen memastikan gol kemenangan pada minit ke-48 selepas menyambut tendangan sudut Badrul Bakhtiar dan Ismail Alif Mohd Salim memperoleh gol saguhati Perak pada minit ke-72.

Negeri Sembilan turut mencatat kemenangan ketika bermain di gelanggang sendiri semalam apabila menundukkan Pahang 3-0 hasil dua jaringan Mohd Zaquan Adha Razak pada minit ke-27 dan 60 serta Idris Karim (m-71)

Di Stadium Petaling Jaya, UPB-MyTeam tunduk kepada KM Naza 3-4. Gol MyTeam dijaringkan Norshahrul Idlan (m-23, m-65) dan Stanley Bernard (m-79) manakala gol KM Naza dihasilkan Anuar Jusoh (m-36), Akmal Rizal Rakhli (m-45), gol sendiri Azmi Muslim (m-47) dan Faderin Kadir (m-79).

Johor FC mencatat kemenangan bergaya 3-0 bagi membenam cabaran Terengganu yang bermain dengan 10 pemain selepas Marzuki Yusuf dibuang padang pada minit ke-18, di Stadium JCorp.

Gol dijaringkan Eddy Helmi Manan (m-60), Nurul Azwan Roya (m-77) dan Saiful Sabtu (m-81) manakala dalam satu lagi perlawanan, KL Plus menewaskan Polis 3-1 di Stadium Kuala Lumpur.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...