Saturday, May 16, 2009

Tembok Besar China terlalu kebal buat Malaysia

Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my

ANJAKAN sejarah baru yang diburu tidak jadi kenyataan apabila cabaran skuad negara berakhir ekoran kekalahan 0-3 di tangan China pada separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Sudirman, malam tadi.

Keampuhan China di Gimnasium Guangzhou jelas terlalu kebal untuk diruntuhkan biarpun Lee Chong Wei dan rakan sepasukan dikepalainya memberikan tentangan sehebat mungkin.

Rentak gembira China sudah bermula apabila He Hanbin dan Yu Yang berpasangan untuk langsung menenggelamkan cabaran cuba dijelmakan gandingan beregu campuran negara, Fairuzizuan Tazari-Wong Pei Tty 21-11, 21-14.

Saingan sengit yang diramalkan di antara Chong Wei dan juara Olimpik, Lin Dan, memang terhasil, namun jaguh China itu berjaya menangani pelbagai corak persembahan lawannya.

Ia termasuk mengamal pendekatan penuh sabar ketika Chong Wei memperlahankan rentak dan bijak serta pantas memanfaat peluang menyerang yang menjelma. Di akhirnya, Lin Dan menundukkan Chong Wei 21-16, 21-16 selepas bertarung selama 56 minit.

Kombinasi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula kembali menjelmakan bibit-bibit kebangkitan negara apabila berjaya mengawal ketenangan untuk menang tipis 21-19 ke atas Fu Haifeng-Cai Yun pada set pertama.

Namun, di sebalik beberapa aksi memikat ketika mengelirukan lawan, Kien Keat-Boon Heong gagal untuk meneruskan persembahan konsisten apabila akur kalah 15-21 pada set berikutnya.

Di set penentuan, Kien Keat-Boon Heong memberikan segalanya apabila dua kali bangkit mengikat kedudukan selepas jauh ketinggalan. Sayangnya, mereka gagal mengelak kekalahan negara apabila kalah 21-23 pada set penentuan selepas pertarungan keseluruhan selama 66 minit.

Lawan China di final hari ini ialah Korea Selatan yang sebelumnya menundukkan Indonesia 3-1.

Di sebalik kegagalan itu, skuad negara tetap mampu berbangga dengan kejayaan menempatkan diri di kalangan empat pasukan terbaik kejohanan - pencapaian yang julung kali terhasil dalam 20 tahun sejarah kejohanan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...