Saturday, May 16, 2009

Malaysia gagal benam China

Oleh Mohd Fadzrie Hazis
fadzrie@bharian.com.my


PEMAIN negara kecewa selepas tewas 7-6 menerusi pukulan penalti kepada China dalam saingan penentuan tempat ketiga di Stadium Hoki Wisma Belia, semalam.

Akhiri saingan di tempat keempat selepas tewas 7-6 menerusi sepakan penalti

SKUAD hoki kebangsaan menamatkan saingan di Piala Asia dengan menduduki tempat keempat, apabila tewas 7-6 menerusi pukulan penalti kepada China selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 sehingga tamat masa tambahan, di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, semalam.

Ia sekali gus bererti sasaran menyamai pencapaian terbaik negara di tempat ketiga pada edisi 2007 di Chennai, India gagal dicapai skuad kendalian Tai Beng Hai manakala China mengulangi pencapaian terbaiknya pada edisi 1982 di Karachi.

Korea Selatan pula mengejutkan Pakistan untuk muncul juara hasil jaringan Kim Byung-hoon pada minit ke-66, sekali gus mara ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan.

Berbekalkan sokongan padu kira-kira 7,000 peminat tempatan, skuad negara gagal mengawal perlawanan dengan baik untuk mengesahkan kemenangan dalam tempoh 70 minit perlawanan, walaupun mendahului tiga kali.

Beng Hai menganggap skuad negara tidak bernasib baik dan sukar untuk menentukan kemenangan menerusi pukulan penalti, walaupun pemain sudah melakukan persiapan mengambil pukulan penalti.

“Kami mengawal perlawanan buat seketika tetapi berlaku sedikit kemerosotan dalam permainan kami pada babak kedua dan saya berasa kami tidak bernasib baik apabila pukulan penalti menjadi penentu walaupun kami ada mengadakan latihan khas untuk menghadapi penentuan itu.

“Bukan mudah untuk kembali mencabar di peringkat antarabangsa kerana ia memerlukan masa kerana sudah 10 tahun skuad negara mengalami kemerosotan dan saya percaya dengan sedikit masa, skuad ini mampu mencapai tahap yang diharapkan," kata Beng Hai yang meminta pasukannya tidak diukur pada kejohanan itu sahaja.

Malaysia hanya memerlukan seminit untuk membuka tirai jaringan menerusi Ismail Abu, namun China pantas bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti kaptennya, Song Yi pada minit ke-19 selepas penjaga gol negara, S Kumar menjatuhkan Liu Xian Tang dalam kawasan D.

Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, pemain negara mula memberi lebih tekanan kepada benteng China dan usaha mereka berhasil apabila Chua Boon Huat kembali meletakkan skuad negara di depan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31.

China kembali memberi tekanan kepada Malaysia pada babak kedua apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan kedua Song Yi (m-46), sebelum skuad negara sekali lagi mendahului menerusi jaringan Nabil Fiqri (m-64) tetapi China mengheret perlawanan ke masa tambahan sudden death apabila menyamakan kedudukan menerusi jaringan Jiang Xi Shang (m-67).

Kedua-dua pasukan gagal menemui sasaran pada masa tambahan dan China mengesahkan kedudukan di tempat ketiga menerusi kemenangan pukulan penalti apabila penjaga golnya, Su Ri Feng menyelamatkan tiga pukulan penalti skuad negara.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...