Saturday, May 16, 2009

2,141 kuota guru dan pengetua cemerlang ditambah

KUALA TERENGGANU: Kerajaan meluluskan serta-merta pertambahan 2,141 kuota bagi jawatan guru dan pengetua cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) di sekolah menengah di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kerajaan juga bersetuju untuk mewujudkan beberapa jawatan guru cemerlang bagi PPPS yang berkhidmat di sekolah rendah.

"(Pertambahan kuota itu) Ia sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada guru-guru," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Guru 2009 peringkat kebangsaan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sambutan bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ itu ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Muhyiddin berkata, bagi guru cemerlang Gred Khas C, kerajaan bersetuju menambahkan kuota daripada 24 kepada 36 jawatan manakala 34 daripada 100 jawatan sedia ada untuk Gred DG54.

Gred DG52 pula ditambah daripada 250 kepada 336 jawatan, Gred DG48 daripada 1,000 kepada 1,345 jawatan, Gred DG44 daripada 4,000 kepada 5,379 jawatan, pengetua cemerlang Gred Jusa C daripada 10 kepada 20 jawatan dan pengetua cemerlang Gred DG54 daripada 200 kepada 475 jawatan.

Pengetua cemerlang Gred DG52 pula dikekalkan sebanyak 400 jawatan, katanya.

Bagi jawatan guru cemerlang PPPS yang berkhidmat di sekolah rendah pula, beliau berkata, sebanyak 173 jawatan diwujudkan bagi Gred DG48 dan 1,737 jawatan untuk Gred DG44.

Muhyiddin berkata, Pegawai Perkhidmatan Bukan Siswazah juga akan menikmati laluan kerjaya yang sama apabila kerajaan selesai melakukan kajian mengenainya tidak lama lagi. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...