Thursday, May 14, 2009

Pakistan akhiri perjalanan hebat Malaysia


PEMAIN Malaysia meraikan gol pendahuluan menerusi Ismail Abu dalam saingan separuh akhir menentang Pakistan, malam tadi. Malaysia tewas 2-4.

IMPIAN skuad hoki negara ke perlawanan akhir Piala Asia berkecai apabila tewas 4-2 kepada Pakistan pada perlawanan separuh akhir di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan yang disaksikan kira-kira 7,000 penyokong tempatan malam tadi.

Walaupun cuba memberi tentangan sengit kepada Pakistan, ternyata kemampuan lawan untuk menukar tempo permainan menjadi perbezaan dan skuad negara akhirnya terpaksa akur kepada kelebihan Pakistan.

Kemenangan malam tadi membolehkan Pakistan melangkah ke final bertemu Korea Selatan, esok. Korea terlebih dulu mengesahkan tempat selepas membelasah China 5-1 pada aksi separuh akhir pertama.

Malaysia kini akan bakal berdepan China untuk penentuan tempat ketiga esok.

Bagi jurulatih negara, Tai Beng Hai, kegagalan pemain mengawal tempo permainan selepas mendahului menjadi punca kekalahan, namun dia tiada rungutan terhadap komitmen anak buahnya yang mempamerkan aksi melawan.

"Ia sedikit sukar buat pemain selepas beraksi dua perlawanan dalam masa dua hari dan ia antara faktor mengapa kami gagal mengekalkan tempo pantas selepas mendahului.

"Namun mereka tidak menyerah dan tetap berusaha merapatkan jurang sehingga tamat perlawanan dan kami masih komited untuk pertemuan dengan China untuk menyamai pencapaian di Chennai dua tahun lalu," kata Beng Hai.

Jurulatih Pakistan, Shahid Ali Khan berkata kelebihan skuadnya adalah kerana dia mengetahui kekuatan pemain negara ketika menjadi jurulatih penjaga gol Malaysia dua tahun lalu, selain anak buahnya dapat mempraktikkan apa yang diarahkannya.

"Ia bukan perlawanan mudah buat kami kerana Malaysia memberi tentangan kepada kami, tetapi saya mengenali pemain negara anda dan saya tahu mereka akan berdepan kesukaran jika kami terus memberi tekanan kepada mereka. Ternyata jangkaan saya tepat malam ini," kata Shahid.

Malaysia memulakan aksi dengan langkah kanan apabila hanya memerlukan empat minit untuk membuka jaringan menerusi Ismail Abu, tetapi Pakistan berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Rehan Butt pada minit ke-18.

Jaringan itu memberikan keyakinan kepada Pakistan untuk terus mengasak kubu tuan rumah menerusi beberapa gerakan berbahaya tetapi penjaga gol negara, S Kumar beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan tepat lawan untuk memastikan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

Pakistan terus melebarkan penguasaan pada babak kedua dan berjaya mendahului menerusi jaringan Akhtar Ali (m-46), sebelum mengukuhkan kedudukan hasil gol Rehan (m-63) dan Haseem (m-64). Ismail berjaya merapatkan jurang menerusi gol keduanya pada minit akhir perlawanan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...