Showing posts with label Kisah Artis Mat Salleh. Show all posts
Showing posts with label Kisah Artis Mat Salleh. Show all posts

Thursday, August 27, 2009

Laila Ali dari tinju jadi seorang ibu

Laila Ali dari tinju jadi seorang ibu

Oleh Shamsiah Sanin


Laila bangga menjadi ibu Muhammad Conway atau CJ.

Di sebalik latihan keras dalam sukan tinju, Laila akur dengan naluri seorang wanita yang inginkan sebuah keluarga, anak dan kehidupan bahagia

SIAPA yang tidak mengenali ahli tinju wanita Laila Ali, anak kepada legenda tinju dunia, Muhammad Ali. Sejak kecil Laila memang sudah menunjukkan minat untuk mewarisi dan meneruskan kehebatan bapanya walaupun Muhammad Ali sendiri tidak merestui cita-citanya.

Anak kedua Muhammad Ali dengan isteri ketiganya Veronica Porche dan setakat ini beliau adalah yang paling terkenal di kalangan sembilan orang anak Muhammad Ali.

Sepanjang kerjayanya sebagai ahli tinju, Laila, 32, menang semua 24 perlawanan yang pernah disertainya, manakala 21 perlawanan berkesudahan dengan KO. Satu-satunya ahli tinju yang pernah mencederakan kelopak mata Laila, ialah Valerie Mahfood ketika mereka berlawan pada 2003.

Di kalangan keluarganya, Laila terkenal dengan sikap keras kepala sehingga Muhammad Ali, dalam satu pertengkaran dengannya memberitahu ahli keluarga yang lain: "Jangan pujuk Laila, dia seorang yang keras kepala, sama seperti saya."

Namun, di sebalik latihan keras dan gigih untuk berjaya dalam sukan tinju, Laila tetap akur dengan fitrah dan naluri seorang wanita yang inginkan sebuah keluarga, anak dan kehidupan yang bahagia.

Laila bersama lagenda tinju dunia, juga bapanya, Muhammad Ali.

Laila yang kini bergelar ibu kepada Curtis 'CJ' Muhammad Conway, 6 bulan hasil perkahwinannya dengan Curtis Conway dan ibu tiri kepada tiga orang anak beliau daripada perkahwinan terdahulu, mengaku bahawa kehidupan sebagai seorang ibu mempunyai cabaran yang cukup hebat berbanding dunia sukan tinju.

Kehadiran CJ benar-benar menggembirakan dan mengubahkan corak hidup Laila dan suaminya, lebih-lebih lagi Muhammad Ali sendiri.

Apa yang pasti Muhammad Ali sudah mempunyai seorang pewaris yang dapat meneruskan legasi dan kehebatan beliau di gelanggang tinju.

"Sebagai ahli tinju, saya perlu menjalani latihan yang keras dan mematuhi disiplin, selain memastikan mendapat tidur yang cukup untuk mengekalkan kecergasan. Namun, apabila menjadi ibu keadaannya jauh berbeza. Saya sering kurang tidur dan perlu bangun beberapa kali setiap malam untuk menukar lampin dan menyusukan CJ. Rutin saya bertukar mengikut rutin CJ, jika dia tidur saya boleh berehat tetapi jika dia bangun saya juga perlu bangun," katanya.

Laila dan Curtis Conway.

Beliau mengaku menerima pelbagai petua daripada rakan dan keluarga ketika hamil untuk penjagaan bayi, tetapi hanya selepas dirinya benar-benar menjadi ibu barulah beliau menyedari cabaran dan tanggungjawab yang terpaksa dilaksanakannya.

Laila berkata, beliau tidak menyangka tanggungjawab menyusui bayi amat mencabar dan kini memahami mengapa ada sebilangan ibu yang gagal menyusui anak mereka.

"Apabila anda menyusui sendiri bayi, anda seolah-olah menjadi 'mesin pengeluar susu' yang perlu berfungsi 24 jam sehari dan bersedia setiap kali diperlukan. Puting payu dara juga kerap luka atau melecet dan amat menyakitkan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, masa menyusukan bayi adalah antara saat yang amat indah dalam kehidupan seorang ibu bersama bayinya.

"Ketika menyusui CJ saya berasa amat dekat dengannya. Ia suatu pengalaman yang tidak akan saya lupakan seumur hidup saya, walaupun puting payu dara kerap melecet. CJ memang kuat menyusu," katanya.

Laila bagaimanapun berkata, beliau tetap mahu menyusui CJ sepenuh masa untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan sebelum bayinya diberi makanan pejal.

"Saya mahu melakukan semua perkara mengenai CJ bersendirian kerana saya tidak mahu tertinggal sesaat pun masa yang begitu istimewa melihat bayi saya membesar dan berkembang," katanya.

Memang tidak diragukan lagi bahawa CJ yang dilahirkan di kalangan keluarga ahli sukan profesional bakal mengikut jejak langkah ibu dan datuknya suatu masa nanti, namun Laila berkata, beliau tidak akan menggalakkan anaknya menjadi ahli tinju.

"Jika dia mahu menjadi pemain bola sepak, saya akan membenarkan dan menggalakkannya, tetapi bukan sukan tinju, tidak untuk anak comel saya," katanya.

PROFIL: Laila Ali
Nama timangan: Lay Lay
Tarikh lahir: 30 Disember 1978
Tempat lahir: Miami Beach, Florida
Ayah: Muhammad Ali
Ibu: Veronica Porche
Kerakyatan: Amerika
Kepercayaan: Ortodoks

Rekod tinju:
Jumlah perlawanan: 24
Menang: 24
Kalah: 0
Menang dengan KO: 21

Thursday, August 13, 2009

HOLLYWOOD: Sienna musuh wanita


LINCAH beraksi di filem, namun anehnya aktres jelita Britain, Sienna Miller, 27, tidak suka menonton filem lakonan sendiri. Malah bintang G.I Joe The Rise Of The Cobra itu mengaku dirinya bukan baik apabila berpeleseran bersama suami orang, Balthazar Getty, aktor Brothers & Sisters.Balthazar Getty adalah suami Rosetta Millington. Sienna mendedahkan hubungan sulitnya dengan ayah

empat anak itu dalam majalah GQ, edisi terbaru. Implikasi kenyataannya itu, aktres yang pernah popular melalui The Factory Girl dan The Edge Of Love, menjadi tumpuan berita.

Balthazar, 34, fasih bahasa Jerman sementara Rosetta, pereka fesyen kanak-kanak. Namun cucu kepada jutawan kaya raya, Sir Paul Getty ini, tidak pernah menfailkan perceraian walaupun dikatakan sudah berpisah dengan isterinya tahun lalu, selepas kelahiran anak keempatnya, dua tahun lalu.

Disebabkan skandal itu, Sienna menerima reputasi buruk. Akuinya, kata-kata yang dilemparkan kepadanya terlalu teruk apabila digambarkan seorang yang tidak baik dan dibenci wanita lain.

"Saya rasa, jika anda letak kamera dalam kehidupan seseorang, membuat dokumentasi mengenainya setiap hari selama enam tahun, dari umur 21 hingga 27, pasti terdapat perkara tidak menarik akan dipaparkan," katanya.

Dikaitkan dengan suami orang bukan perkara baru buat Sienna yang mula menjalin cinta dengan pereka fesyen, Dave Neville ketika usia 19 tahun kemudian dengan aktor Jude Law sewaktu usianya 21 tahun.

Turut dikaitkan dengannya, Rhys Ifans dan sekarang, Balthazar. Sienna tidak menyangka tindakannya keluar bersama Balthazar selama beberapa bulan menimbulkan kekecohan.

Katanya, dia cuba berkelakuan baik supaya diterima orang lain kerana sedar kelebihan dirinya yang mempunyai otak bagus tetapi tidak menggunakannya ketika memerlukan.

"Saya cuba berkelakuan supaya dapat diterima orang lain tetapi pada masa sama merasakan tindak balas keadaan itu seperti 'berpura-pura' skandal tidak wujud.

"Situasi dilalui tidak sesuai tetapi masih berlaku. Jika dapat kembali dan lebih bertanggungjawab, saya akan lakukannya.

"Saya mungkin rasa ia terlalu mudah tanpa mengendahkan pandangan orang lain. Saya mempunyai otak bagus tetapi tidak benar-benar menggunakannya dalam keadaan memerlukan.

"Saya buat keputusan mengenai cinta tetapi tidak tahu sama ada ia satu rahmat atau sumpahan," katanya.

Bagaimanapun, Sienna yang masih solo menegaskan, dia tidak akan membentuk hidupnya berdasarkan apa difikirkan orang lain dan berikrar akan terus mencari pasangan hidup daripada kalangan pelakon.

"Saya bertindak seperti orang kurang bijak. Saya meminta maaf kepada orang yang saya rasa perlu tetapi saya tidak dapat meminta maaf terhadap perkara yang tidak mereka fahami," katanya.

Sienna yang memegang watak jahat dalam G.I Joe The Rise Of The Cobra berdepan banyak risiko sewaktu menjayakan filem itu. Dalam satu babak mendebarkan, Sienna hampir kehilangan payu daranya apabila jaket kalis peluru yang dipakainya terlucut.

"Bayangkan, payudara saya terbakar tapi mujurlah kru cepat bertindak dan saya hanya mengalami lebam," katanya.

Perkara itu diakui pengarahnya, Stephen Sommers. Katanya, dia lega kerana Sienna tidak mengalami kesan jangka panjang.

"Kami yang menyebabkan payudaranya terbakar dan bukan dia membakarnya," kata Sommers.

Apapun, pengorbanan dan cabaran dialami kru serta pelakon sepanjang penggambaran filem itu berbaloi apabila mendapat sambutan hebat dengan kutipan RM185 juta (AS$56.2 juta) di Amerika Syarikat dan Kanada, minggu lalu. Ia menampilkan lakonan Dennis Quaid, Channing Tatum, Marlon Wayans dan Joseph Gordon-Levitt.

Dalam pada itu, Sienna bangga kerana rambut palsu yang digunakan sewaktu menjayakan filem itu berharga RM24,000 (4,800 pound). Malah, sebahagian peruntukan RM1 bilion (200 juta pound) digunakan untuk rambut hitam berkilat yang dipakainya sepanjang penggambaran.

Katanya, rambut ringan seperti kapas dan sentiasa berkilat itu perlu dijaga dengan baik hingga terpaksa ditempatkan dalam bekas kaca.


Saturday, July 11, 2009

Emma Watson: Malu besar?

Susunan Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
BESAR harapannya bagi mendengar komen positif pengkritik filem untuk lakonannya sebagai Hermione Granger menerusi filem terbaru, Harry Potter And The Half-Blood Prince sewaktu menghadiri tayangan perdana filem keenam siri itu di London, baru-baru ini.

Keterujaan Emma Watson, 19, ada kaitan dengan gosip yang bertiup kencang kononnya siri berkenaan adalah pembabitan terakhirnya dalam Harry Porter.

Semestinya dia mengharapkan lakonan terakhirnya itu memberi impak apatah lagi lebih setahun yang lalu Emma bersungguh-sungguh memberikan komitmen 110 peratus terhadap pembikinan filem itu.

Malah, dia juga mengharapkan penonton tidak lagi memandang karakter Hermione Granger sebagai kanak-kanak pintar, sebaliknya remaja berkuasa.

Pun begitu, lain yang diharapkan lain pula yang berlaku. Sewaktu menghadiri tayangan perdana filem itu, Emma terpaksa menanggung malu apabila gaun 'vintage' beralun yang diilhamkan dari era 70-an oleh Ossie Clark, terselak dan menampakkan seluar dalamnya.

Kejadian itu berlaku di hadapan ribuan peminat serta ratusan wartawan serta jurugambar.

Insiden itu menjadi isu yang cukup hangat sehingga menarik minat David Letterman mewawancara Emma dalam programnya, Late Show with Letterman.

Seakan dapat menduga soalan bakal ditanya, Emma cuba bersikap tenang dan tidak tertekan dengan apa yang heboh diperkatakan.

"Sekurang-kurangnya saya memakai seluar dalam," balas Emma kepada Letterman sambil tertawa.

Pada temu bual itu, Emma turut diberi kesempatan oleh pengacara ternama itu untuk memberi penjelasan berhubung insiden yang berlaku bukan saja kepada jutaan penonton setia program itu, tetapi juga peminat di seluruh dunia.

"Saya kesal dan tidak mahu mengulangi kesilapan serupa walaupun ketika itu saya sebenarnya cuba membetulkan baju sebaik keluar dari limosin.

"Kebetulan ketika itu hujan. Saya tidak perasaan gaun saya terselak dan tidak menyangka aksi saya itu dirakamkan.

"Peristiwa itu memang sangat memalukan apatah lagi berlaku di khalayak ramai dan keadaan tidak senonoh itu kemudiannya dipaparkan dalam akhbar.

"Bagaimanapun, saya cuba tidak berasa begitu tertekan kerana sebaik menyedari aksi saya dirakamkan, saya sudah mempersiapkan diri menghadapi laporan media pada keesokan harinya.

"Cuma, apa yang dikesalkan gara-gara insiden itu kehebatan filem Harry Potter And The Half-Blood Prince tidak begitu diperkatakan sebaliknya hal baju saya yang menjadi tajuk utama.

"Saya berasa amat bersalah kepada pengarah, pelakon dan seluruh pihak yang terbabit dalam pembikinan filem itu kerana hasil kerja mereka selama hampir dua tahun menyiapkan filem itu sepatutnya diperkatakan.

"Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Insiden tidak disengajakan terjadi pada diri saya itu pula mengambil alih tumpuan," katanya.

Pelbagai reaksi diberikan sewaktu kejadian itu berlaku dan ada beberapa pengkritik fesyen mengatakan insiden berkenaan mungkin disengajakan pelakon remaja itu.

Ini kerana secara logiknya, sejak kebelakangan ini Emma sering tampil dengan pakaian mendedahkan bahagian tubuh yang menyerlahkan kegadisannya.

Mereka menganggap melewati usia 19 tahun Emma mempunyai perasaan sama saja sebagaimana kebanyakan remaja perempuan yang lain yang ingin dilihat cantik dan seksi. Dakwaan itu diperkukuhkan lagi apabila Emma dilaporkan sudah bosan menjadi kanak-kanak dan mendambakan watak pelajar kolej yang kehidupan mereka disulami cinta, cita-cita dan konflik.

Barangkali apa yang dinyatakan ada benarnya kerana Emma mula membintangi siri Harry Poter sejak berusia sembilan tahun menerusi Harry Potter And The Philosopher's Stone pada 1999.

Selesai mempromosikan filem Harry Potter And The Half-Blood Prince yang rancak ditayangkan di pawagam sekarang ini, Emma akan menyambung pengajiannya di Universiti Columbia di Amerika Syarikat pada September ini.

"Ia bagaikan impian menjadi kenyataan kerana sejak usia 11 tahun lagi saya sudah menanam impian untuk melanjutkan pengajian di universiti itu.

"Sebaik memasuki kuliah, saya pasti kehidupan saya akan berubah dan sangat teruja melaluinya kerana sejak 10 tahun lalu saya sibuk berlakon dan tidak berpeluang untuk bergaul dengan rakan sebaya.

"Saya harap di universiti nanti saya tidak menjadi tumpuan sebagaimana saya berada di London kerana saya mahu dilayan seperti pelajar lain dan mahu mempunyai kawan yang ikhlas menerima saya sebagai Emma Watson yang sebenar," katanya.

Wajah baru produk Burberry ini turut memaklumkan, dia belum pasti sama ada selepas melangkah ke universiti nanti dia masih berminat untuk berlakon kerana di fikirannya sekarang adalah untuk melengkapkan ijazahnya.

"Mungkin tidak kerana saya perlu mempertimbangkan apa yang saya inginkan sekarang ini. Tetapi tidak mustahil akan kembali berlakon kerana ia adalah minat saya, tetapi mungkin hanya setuju berlakon filem yang menawarkan sesuatu watak berbeza," katanya.



PROFIL

NAMA SEBENAR: Emma Charlotte Duerre Watson

TARIKH LAHIR: April 15 1990

TEMPAT LAHIR: Paris, Perancis

BINTANG: Aries

ANTARA FILEM: Harry Potter, Harry Potter and the Philosopher's Stone dan Harry Potter and the Half-Blood Prince.

KOMERSIAL: Dipilih sebagai wajah jenama terkenal Burberry 2009.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...