LINCAH beraksi di filem, namun anehnya aktres jelita Britain, Sienna Miller, 27, tidak suka menonton filem lakonan sendiri. Malah bintang G.I Joe The Rise Of The Cobra itu mengaku dirinya bukan baik apabila berpeleseran bersama suami orang, Balthazar Getty, aktor Brothers & Sisters.Balthazar Getty adalah suami Rosetta Millington. Sienna mendedahkan hubungan sulitnya dengan ayah
empat anak itu dalam majalah GQ, edisi terbaru. Implikasi kenyataannya itu, aktres yang pernah popular melalui The Factory Girl dan The Edge Of Love, menjadi tumpuan berita.
Balthazar, 34, fasih bahasa Jerman sementara Rosetta, pereka fesyen kanak-kanak. Namun cucu kepada jutawan kaya raya, Sir Paul Getty ini, tidak pernah menfailkan perceraian walaupun dikatakan sudah berpisah dengan isterinya tahun lalu, selepas kelahiran anak keempatnya, dua tahun lalu.
Disebabkan skandal itu, Sienna menerima reputasi buruk. Akuinya, kata-kata yang dilemparkan kepadanya terlalu teruk apabila digambarkan seorang yang tidak baik dan dibenci wanita lain.
"Saya rasa, jika anda letak kamera dalam kehidupan seseorang, membuat dokumentasi mengenainya setiap hari selama enam tahun, dari umur 21 hingga 27, pasti terdapat perkara tidak menarik akan dipaparkan," katanya.
Dikaitkan dengan suami orang bukan perkara baru buat Sienna yang mula menjalin cinta dengan pereka fesyen, Dave Neville ketika usia 19 tahun kemudian dengan aktor Jude Law sewaktu usianya 21 tahun.
Turut dikaitkan dengannya, Rhys Ifans dan sekarang, Balthazar. Sienna tidak menyangka tindakannya keluar bersama Balthazar selama beberapa bulan menimbulkan kekecohan.
Katanya, dia cuba berkelakuan baik supaya diterima orang lain kerana sedar kelebihan dirinya yang mempunyai otak bagus tetapi tidak menggunakannya ketika memerlukan.
"Saya cuba berkelakuan supaya dapat diterima orang lain tetapi pada masa sama merasakan tindak balas keadaan itu seperti 'berpura-pura' skandal tidak wujud.
"Situasi dilalui tidak sesuai tetapi masih berlaku. Jika dapat kembali dan lebih bertanggungjawab, saya akan lakukannya.
"Saya mungkin rasa ia terlalu mudah tanpa mengendahkan pandangan orang lain. Saya mempunyai otak bagus tetapi tidak benar-benar menggunakannya dalam keadaan memerlukan.
"Saya buat keputusan mengenai cinta tetapi tidak tahu sama ada ia satu rahmat atau sumpahan," katanya.
Bagaimanapun, Sienna yang masih solo menegaskan, dia tidak akan membentuk hidupnya berdasarkan apa difikirkan orang lain dan berikrar akan terus mencari pasangan hidup daripada kalangan pelakon.
"Saya bertindak seperti orang kurang bijak. Saya meminta maaf kepada orang yang saya rasa perlu tetapi saya tidak dapat meminta maaf terhadap perkara yang tidak mereka fahami," katanya.
Sienna yang memegang watak jahat dalam G.I Joe The Rise Of The Cobra berdepan banyak risiko sewaktu menjayakan filem itu. Dalam satu babak mendebarkan, Sienna hampir kehilangan payu daranya apabila jaket kalis peluru yang dipakainya terlucut.
"Bayangkan, payudara saya terbakar tapi mujurlah kru cepat bertindak dan saya hanya mengalami lebam," katanya.
Perkara itu diakui pengarahnya, Stephen Sommers. Katanya, dia lega kerana Sienna tidak mengalami kesan jangka panjang.
"Kami yang menyebabkan payudaranya terbakar dan bukan dia membakarnya," kata Sommers.
Apapun, pengorbanan dan cabaran dialami kru serta pelakon sepanjang penggambaran filem itu berbaloi apabila mendapat sambutan hebat dengan kutipan RM185 juta (AS$56.2 juta) di Amerika Syarikat dan Kanada, minggu lalu. Ia menampilkan lakonan Dennis Quaid, Channing Tatum, Marlon Wayans dan Joseph Gordon-Levitt.
Dalam pada itu, Sienna bangga kerana rambut palsu yang digunakan sewaktu menjayakan filem itu berharga RM24,000 (4,800 pound). Malah, sebahagian peruntukan RM1 bilion (200 juta pound) digunakan untuk rambut hitam berkilat yang dipakainya sepanjang penggambaran.
Katanya, rambut ringan seperti kapas dan sentiasa berkilat itu perlu dijaga dengan baik hingga terpaksa ditempatkan dalam bekas kaca.