Wednesday, August 19, 2009

Ronaldo jual rumah


DIA sudah meninggalkan Manchester United tetapi Cristiano Ronaldo masih mencari pembeli buat rumah agam mewahnya yang bernilai STG5 juta (RM29 juta) di Alderley Edge, Cheshire.

Pemain itu, yang baru-baru ini berhijrah ke Real Madrid dengan bayaran perpindahan STG80 juta (RM465 juta), membeli rumah itu dengan harga STG3.9 juta (RM23 juta) kira-kira 18 bulan lalu.

Namun, di sebalik kemelesetan ekonomi dunia, pemain berusia 24 tahun itu berharap mendapat STG1 juta (RM5.8 juta) daripada penjualan rumah agam itu.

Dan sudah pasti seorang pemain bola sepak lebih layak untuk menduduki rumah besar tiga tingkat di Cheshire itu.

Pemain baru Manchester City, Carlos Tevez, 25, dikatakan amat berminat untuk membeli rumah itu, yang lengkap dengan kolam mandi.

Penyerang Argentina yang menerima gaji STG150,000 (RM871,400) seminggu itu dilaporkan sudah melihat-lihat di sekitar rumah yang mempunyai lima bilik tidur itu. Dia kini menyewa di Prestbury yang tidak begitu jauh dari Alderley Edge.

Seorang sumber memberitahu: "Ia satu tempat yang amat menarik dan mempunyai apa saja yang anda ingini.

"Jika ia dibeli oleh seorang lagi pemain bola sepak, ia mampu mencetuskan perasaan iri hati di kalangan rakan sepasukannya."

Terdahulu, jiran Ronaldo mengeluh ketika dia mula-mula masuk ke rumah agam itu dengan menyifatkannya sebagai "menyakitkan, kejam dan tidak sensitif".

Jiran-jirannya bengang dengan kehadiran beberapa jentera berat apabila pemain itu mahu mengubah suai rumah besar itu sekalipun segala-galanya sudah bagus dan terlalu mewah. Penduduk di situ amat marah hingga mahu membuat bantahan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...