DAVID Beckham mendedahkan bagaimana dia cuba mengekalkan kecergasan bagi memastikan dia mampu bermain bola sepak hingga berusia 40 tahun.
Bintang England itu berazam untuk menyamai karier bekas ketua pasukan AC Milan, Paolo Maldini, yang bersara dua bulan lalu selepas karier selama 24 tahun.
Beckham, 34, amat meminati ikon San Siro berusia 41 tahun itu dan mula melakukan program kecergasan yang membolehkannya beraksi lebih lama lagi.
"Saya sering mengekalkan kecergasan diri. Saya menjaga tubuh badan saya.
"Saya amat menjaga disiplin diri. Saya sering mencatat masa larian dan memeriksa tahap kecergasan.
"Berada di AC Milan adalah sesuatu yang menakjubkan daripada segi mengekalkan kecergasan dan memberikan keyakinan betapa saya boleh mewakili mana-mana kelab Eropah pada bila-bila masa saja.
"Saya melakukannya secara intensif selepas Dubai dalam kem latihan yang membolehkan saya bersedia menghadapi musim baru.
"Saya berasa cukup cergas untuk bermain di tahap tertinggi. Apabila saya tidak berasa sedemikian, tibalah masanya buat saya untuk berundur.
"Doktor Milan memberitahu saya bahawa saya memiliki sesuatu yang agak sama dengan Maldini. Mereka berkata jika saya mampu mengekalkan tahap kecergasan sekarang, saya boleh bermain selama mana yang saya mahu."
Selepas menamatkan musim ini bersama Galaxy, dia berminat untuk menandatangani kontrak secara pinjaman dengan kelab gergasi Itali itu Disember ini - jadi dia boleh merebut tempat dalam skuad Piala Dunia England musim panas depan.
"Milan masih mempunyai beberapa pemain terbaik dunia," kata Beckham. "Saya tahu mereka kehilangan Kaka dan setiap peminat setia sedih melihat dia pergi.
"Tapi Manchester United juga kehilangan Ronaldo dan masih sebuah pasukan yang hebat. Saya masih ingat apabila Eric Cantona meninggalkan United - mereka terus menjadi pasukan yang hebat.
"Bagi saya, tiada alasan kenapa Milan tidak boleh bersaing dan memenangi kejuaraan Itali. Mereka adalah salah satu kelab terbesar di dunia. Saya memiliki masa-masa yang indah ketika tiga bulan berada di sana.
"Milan meminta saya untuk kekal. Saya tidak fikir ada seorang pemain di dunia yang akan menolak permintaan seperti itu."