SAO PAULO: Seorang gadis berusia 17 tahun ditahan malam tadi selepas mengaku menikam hingga mati 30 lelaki.
Pelajar berkenaan yang mengejutkan polis berkata, dia mula melakukan pembunuhan ketika berusia 15 tahun.
Gadis itu memberitahu detektif dia mahu mengaku melakukan jenayah itu sebelum mencapai usia 18 tahun supaya tidak dibicarakan sebagai pesalah dewasa.
Gadis itu berkata, dia mula mensasar lelaki di sekitar rumahnya di Sao Paulo kerana wang, balas dendam dan keadilan.Malah dia tersenyum ketika menyenaraikan mangsanya dan dia mungkin menjadi pembunuh bersiri belasan tahun paling banyak melakukan pembunuhan.
Dia dengan tenang memberitahu polis: “Saya tidak berani memegang pistol tetapi saya boleh memegang pisau.
“Saya membuat pengakuan ini kerana saya berjanji untuk berbuat demikian sebelum berusia 18 tahun bagi mengelak keluarga saya kecewa,” katanya
Pelajar itu menceritakan bagaimana dia selalu menggunakan pisau yang sama, termasuk menikam seorang lelaki yang melontar segelas brandi ke mukanya ketika bergaduh dalam sebuah bar.
Polis masih belum pasti motif yang mendorong dia terus membunuh.
Sumber berkata, satu teori ialah dia mungkin diupah oleh ketua samseng kerana dia kelihatan baik.
Gadis itu mengaku selepas ditahan berhubung satu pergaduhan di Sao Paulo.
Ia mengejutkan negara itu yang masih terperanjat dengan penangkapan seorang hos rancangan jenayah di televisyen yang dituduh mengatur pembunuhan untuk meningkatkan rating rancangan itu.
Bekas polis, Wallace Souza yang berusia 50-an tahun menjadi begitu popular menerusi rancangan itu.
Rahsianya terbongkar apabila bekas rakan sekerjanya mula tertanya-tanya bagaimana kru televisyennya boleh berada di setiap tempat kejadian tepat pada masanya.
Souza bagaimanapun menafikan tuduhan itu. — Agensi