KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang kakitangan Pos Malaysia Bhd yang menggunakan kontena syarikat itu untuk mengangkut bunga api dan mercun bernilai RM50,000 dari Pasir Mas ke rumahnya di Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki berumur 33 tahun yang berasal dari Kelantan itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam tadi bersama-sama beberapa kotak mercun dipercayai untuk dijual kepada pelanggan.
Beliau berkata, lelaki itu dipercayai mengambil bekalan mercun dan bunga api daripada pembekal di Golok, Selatan Thailand dan membawa masuk ke Pasir Mas, Kelantan sebelum dibawa ke ibu negara menggunakan kontena milik Pos Malaysia. "Kami percaya bekalan itu dibawa ke sini menggunakan kontena milik syarikat tempat kerjanya dan lelaki itu turut mengemukakan dokumen-dokumen tertentu bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa," katanya dalam satu sidangan akhbar di sini hari ini.
Ku berkata, hasil pemeriksaan ke atas rumah lelaki itu di Gombak kira-kira pukul 1.37 pagi tadi, polis menemui 20 unit bunga api jenama Thunder Cracking Clap, 78 kotak besar bunga api, dua kotak mercun, 11 unit bunga api jenama Friday Night Special dan 18 unit bunga api jenama Feitianlong.
Katanya, suspek menjual mercun serta bunga api pada harga antara RM30 dan RM150 satu pek atau setiap satu, dan siasatan mendapati nilai perolehan hasil kegiatan yang dijalankan sejak tahun lepas itu dianggar menjangkau RM300,000. Beliau berkata, bunga api serta mercun itu dijual di sekitar Lembah Klang dan suspek yang sudah berkahwin itu kini ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - Bernama
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Mutakhir/20090827153722/Article/