BERONANI sudah menjadi seperti masalah lazim yang dihadapi lelaki kerana banyak soalan diajukan berkaitan ruangan ini. Berikutan itu saya gabungkan beberapa masalah yang kebanyakannya berkaitan ‘ketagih onani’ untuk renungan bersama.
Sebenarnya, dalam bidang perubatan banyak pertikaian mengenai amalan itu, dengan kebanyakan pakar psikologi berpendapat ia satu cara untuk mengenali diri secara mendalam, terutama mengenai tindak balas perasaan syahwat dan kemuncak rangsangan seksual.
Masalah itu membabitkan semua peringkat usia dengan sebahagian besarnya remaja dan bujang, tetapi golongan berkahwin turut tidak ketinggalan dengan amalan ini, malah ada yang menyifatkan berasa lebih puas dengan beronani.
Anda boleh bayangkan tekanan yang diberi kepada anggota sulit dan sistem syahwat apabila beronani. Jika anda melakukan onani secara luar biasa seperti rangsangan seksual secara kasar dan kuat untuk mengecapi klimaks, mungkin apabila beristeri, anda mendapati bersetubuh dengannya tidak memberi kepuasan seperti anda kecapi secara onani.
Masalah ini dikenali sebagai ‘Traumatic Masturbatory Syndrome’. Yang menimbulkan masalah ialah onani mengakibatkan klimaks anda berlaku dengan cepat, yang jika berterusan dan diamalkan akan mengakibatkan anda tidak dapat bertahan lama apabila mengadakan hubungan seksual sebenar.
Selain itu, jika merangsang anggota sulit dengan ganas sehingga mengakibatkan ia sakit dan bengkak, mungkin satu hari nanti anda mengalami mati pucuk apabila kerosakan lama menunjukkan kesannya.
Ini kerana anggota sulit adalah organ vaskular dan tidak boleh dirangsang dengan keras. Ia hanya sesuai untuk dirangsang melalui salur faraj wanita.
Berkaitan benih dan kesuburan, ia bukan dalam pengaruh onani. Bagi anda yang sihat dan buah zakar berfungsi dengan baik, ia pasti mampu menghasilkan sperma.
Namun, kerosakan buah zakar boleh berlaku pada bila-bila masa ketika melakukan onani. Jika ia berlaku dan menjejaskan kilang sperma, tentu anda akan mandul kerana sperma tidak lagi dihasilkan ‘kilang’.
Sebagai contoh, anda melakukan onani dalam keadaan tidak terkawal seperti pengaruh alkohol, menyebabkan tidak tahu atau sedar ketika itu anda meragut atau mencederakan buah zakar.
Anda hanya menyedari selepas beberapa lama yang buah zakar anda menjadi semakin kecil atau bengkak, dan jika kilang sperma terjejas, anda menjadi mandul.
Sudah tentu perkara yang menyeronokkan sukar dihentikan, kecuali berlaku perkara memudaratkan seperti keradangan buah zakar dan kebengkakan zakar.
Bagaimanapun, sudah terlewat jika tiada cara merawatnya. Mungkin jika zakar terkulai, bengkok atau patah, ada cara rawatan seperti pemulihan dengan pembedahan atau penggunaan alat pemulih.