Saturday, August 22, 2009
Isteri dara hamil
MEMILIKI anak memang menjadi impian bagi setiap pasangan yang berkahwin kerana anak kerap dikatakan menjadi penghubung kasih sayang antara si ibu dan bapa.
Oleh itu, tentunya hubungan kelamin menjadi langkah pertama supaya wanita mampu hamil sebelum dapat melahirkan anak selepas matangnya tempoh kehamilan.
Tindakan ini memang fitrah manusia, namun jangan terkejut kerana ada kes terpencil di mana wanita yang jahil mengenai seks tetap hamil walaupun zakar belum menembusi faraj. Ini kisah benar kerana saya pernah mengendalikannya.
Apabila satu pasangan baru berkahwin berjumpa saya kerana si isteri lewat datang haid, ujian kehamilan dilakukan ke atas isteri dan keputusannya dia didapati positif mengandung, walaupun mereka tidak pernah melakukan hubungan penetratif.
Ini berlaku kerana wanita itu takut untuk melakukan hubungan penetratif. Jadi, mereka keliru bagaimana isteri itu boleh hamil.
Bagaimanapun, selepas mereka menjelaskan cara hubungan intim dilakukan, baru saya faham dan dapat menjelaskan keadaan yang menyebabkan wanita itu mengandung.
Apa yang sebenarnya berlaku ialah setiap kali suami mengakhiri adegan sentuhan intim terhadap isterinya, dia melepaskan air maninya di kelangkang isteri dan air mani itu dibiarkan meleleh.
Ini mengakibatkan isteri mengandung apabila lelehan air mani menuju ke pembukaan faraj dan bercampur dengan air mazi isteri dan dengan kuasa Tuhan, kehamilan berlaku. Walhal wanita itu masih dara!
Yang menjadi masalah ialah, ketika hamil, hubungan kelamin mungkin terhenti seketika dan dilakukan kembali selepas isteri bersalin dan tamat waktu berpantang.
Jangkaan pasangan itu ialah selepas bersalin secara normal, faraj menjadi sedikit renggang dan mudah dilegakan untuk membolehkan hubungan penetratif dilakukan.
Bagaimanapun, jangkaan itu nyata meleset. Wanita itu masih takut untuk melakukan hubungan seksual, sekali gus menyebabkan masalah sama berulang apabila wanita itu tidak dapat menyesuaikan dirinya untuk bersetubuh.
Hubungan mereka akan menjadi hambar dan boleh menggugat rumah tangga kerana suami mungkin meminta perpisahan apabila masih tidak dapat bersama isterinya, walaupun selepas bersalin. Tanpa bimbingan dan rawatan doktor, perkara ini tidak akan dapat diatasi.
Berbalik kepada pasangan yang mendapat rawatan dengan saya, wanita terbabit selamat melahirkan anak lelaki dan setahu saya, wanita itu kemudian dapat melakukan hubungan seksual penetratif dengan suaminya selepas mendapat bimbingan dan tunjuk ajar cara mengawal dan membuka faraj untuk memudahkan kemasukan zakar.