Thursday, August 27, 2009

2,000 anggota polis dalam Ops Sikap 20

KUALA LUMPUR: Seramai 2,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan dalam Ops Sikap ke-20 yang bakal bermula pada 11 September ini sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis telah menjalankan kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau lebuh raya di seluruh negara bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Beliau berkata, demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada Pasukan Keselamatan Negara yang disampaikan Datin Seri Rosmah Mansor di Bangunan Bakti Siti Hasmah di sini hari ini.

Musa berkata PDRM turut melaksanakan operasi bersepadu bersama JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi mengesan pemandu pengangkutan awam yang memandu dalam keadaan mabuk.

"Bermula pada minggu lepas kita turut membuat operasi bagi kenderaan awam seperti bas awam.

"Pemandu bas ini dikehendaki menjalankan ujian air kencing untuk mengesan jika mereka didapati bersalah dalam pengambilan dadah yang ternyata boleh mengundang bahaya kepada penumpang yang lain," katanya.

Musa turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan hari raya yang dijangka disambut pada 20 September ini supaya memaklumkan kepulangan mereka di mana-mana balai polis berhampiran.

"Kita juga meminta kepada orang ramai yang hendak meninggalkan rumah masing-masing agar maklumkan kepada balai polis yang terdekat supaya kita tahu kawasan mana yang banyak rumah kosong.

"Cara ini memudahkan pihak polis untuk mengadakan rondaan secara kerap dan polis dapat membantu menjaga harta benda mereka sepanjang ketiadaan mereka," katanya. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...