yanie@hmetro.com.my
Rap |
BESAR harapannya bagi mendengar komen positif pengkritik filem untuk lakonannya sebagai Hermione Granger menerusi filem terbaru, Harry Potter And The Half-Blood Prince sewaktu menghadiri tayangan perdana filem keenam siri itu di London, baru-baru ini. |
Keterujaan Emma Watson, 19, ada kaitan dengan gosip yang bertiup kencang kononnya siri berkenaan adalah pembabitan terakhirnya dalam Harry Porter.
Semestinya dia mengharapkan lakonan terakhirnya itu memberi impak apatah lagi lebih setahun yang lalu Emma bersungguh-sungguh memberikan komitmen 110 peratus terhadap pembikinan filem itu.
Malah, dia juga mengharapkan penonton tidak lagi memandang karakter Hermione Granger sebagai kanak-kanak pintar, sebaliknya remaja berkuasa.
Pun begitu, lain yang diharapkan lain pula yang berlaku. Sewaktu menghadiri tayangan perdana filem itu, Emma terpaksa menanggung malu apabila gaun 'vintage' beralun yang diilhamkan dari era 70-an oleh Ossie Clark, terselak dan menampakkan seluar dalamnya.
Kejadian itu berlaku di hadapan ribuan peminat serta ratusan wartawan serta jurugambar.
Insiden itu menjadi isu yang cukup hangat sehingga menarik minat David Letterman mewawancara Emma dalam programnya, Late Show with Letterman.
Seakan dapat menduga soalan bakal ditanya, Emma cuba bersikap tenang dan tidak tertekan dengan apa yang heboh diperkatakan.
"Sekurang-kurangnya saya memakai seluar dalam," balas Emma kepada Letterman sambil tertawa.
Pada temu bual itu, Emma turut diberi kesempatan oleh pengacara ternama itu untuk memberi penjelasan berhubung insiden yang berlaku bukan saja kepada jutaan penonton setia program itu, tetapi juga peminat di seluruh dunia.
"Saya kesal dan tidak mahu mengulangi kesilapan serupa walaupun ketika itu saya sebenarnya cuba membetulkan baju sebaik keluar dari limosin.
"Kebetulan ketika itu hujan. Saya tidak perasaan gaun saya terselak dan tidak menyangka aksi saya itu dirakamkan.
"Peristiwa itu memang sangat memalukan apatah lagi berlaku di khalayak ramai dan keadaan tidak senonoh itu kemudiannya dipaparkan dalam akhbar.
"Bagaimanapun, saya cuba tidak berasa begitu tertekan kerana sebaik menyedari aksi saya dirakamkan, saya sudah mempersiapkan diri menghadapi laporan media pada keesokan harinya.
"Cuma, apa yang dikesalkan gara-gara insiden itu kehebatan filem Harry Potter And The Half-Blood Prince tidak begitu diperkatakan sebaliknya hal baju saya yang menjadi tajuk utama.
"Saya berasa amat bersalah kepada pengarah, pelakon dan seluruh pihak yang terbabit dalam pembikinan filem itu kerana hasil kerja mereka selama hampir dua tahun menyiapkan filem itu sepatutnya diperkatakan.
"Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Insiden tidak disengajakan terjadi pada diri saya itu pula mengambil alih tumpuan," katanya.
Pelbagai reaksi diberikan sewaktu kejadian itu berlaku dan ada beberapa pengkritik fesyen mengatakan insiden berkenaan mungkin disengajakan pelakon remaja itu.
Ini kerana secara logiknya, sejak kebelakangan ini Emma sering tampil dengan pakaian mendedahkan bahagian tubuh yang menyerlahkan kegadisannya.
Mereka menganggap melewati usia 19 tahun Emma mempunyai perasaan sama saja sebagaimana kebanyakan remaja perempuan yang lain yang ingin dilihat cantik dan seksi. Dakwaan itu diperkukuhkan lagi apabila Emma dilaporkan sudah bosan menjadi kanak-kanak dan mendambakan watak pelajar kolej yang kehidupan mereka disulami cinta, cita-cita dan konflik.
Barangkali apa yang dinyatakan ada benarnya kerana Emma mula membintangi siri Harry Poter sejak berusia sembilan tahun menerusi Harry Potter And The Philosopher's Stone pada 1999.
Selesai mempromosikan filem Harry Potter And The Half-Blood Prince yang rancak ditayangkan di pawagam sekarang ini, Emma akan menyambung pengajiannya di Universiti Columbia di Amerika Syarikat pada September ini.
"Ia bagaikan impian menjadi kenyataan kerana sejak usia 11 tahun lagi saya sudah menanam impian untuk melanjutkan pengajian di universiti itu.
"Sebaik memasuki kuliah, saya pasti kehidupan saya akan berubah dan sangat teruja melaluinya kerana sejak 10 tahun lalu saya sibuk berlakon dan tidak berpeluang untuk bergaul dengan rakan sebaya.
"Saya harap di universiti nanti saya tidak menjadi tumpuan sebagaimana saya berada di London kerana saya mahu dilayan seperti pelajar lain dan mahu mempunyai kawan yang ikhlas menerima saya sebagai Emma Watson yang sebenar," katanya.
Wajah baru produk Burberry ini turut memaklumkan, dia belum pasti sama ada selepas melangkah ke universiti nanti dia masih berminat untuk berlakon kerana di fikirannya sekarang adalah untuk melengkapkan ijazahnya.
"Mungkin tidak kerana saya perlu mempertimbangkan apa yang saya inginkan sekarang ini. Tetapi tidak mustahil akan kembali berlakon kerana ia adalah minat saya, tetapi mungkin hanya setuju berlakon filem yang menawarkan sesuatu watak berbeza," katanya.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Emma Charlotte Duerre Watson
TARIKH LAHIR: April 15 1990
TEMPAT LAHIR: Paris, Perancis
BINTANG: Aries
ANTARA FILEM: Harry Potter, Harry Potter and the Philosopher's Stone dan Harry Potter and the Half-Blood Prince.
KOMERSIAL: Dipilih sebagai wajah jenama terkenal Burberry 2009.
|