NAMA Mohamed Zidan hampir sama dengan Zinedine Zidane dan dia berjaya menyamai rekod pemain Perancis itu pada Piala Konfederasi di Afrika Selatan, awal minggu ini.
Kejayaannya menjaringkan dua gol menentang Brazil hingga menobatkannya sebagai pemain terbaik perlawanan, sesuatu yang Zizou lakukan pada perlawanan akhir Piala Dunia Perancis 1998, - satu pencapaian mengagumkan memandangkan dia berada di padang Stadium Free State bersama Kaka, Robinho dan Luis Fabiano.
Zidan memperagakan sentuhan jaringannya di Eropah di mana dia banyak menghabiskan karier dengan mewakili kelab Denmark, Midtjylland selain pasukan Jerman - Werder Bremen, Mainz, Hamburg dan Borussia Dortmund, majikannya sekarang.
Dia mengakui banyak belajar daripada melihat gaya permainan Zidane meskipun mereka berbeza posisi. Dia bermain sebagai penyerang manakala Zidane perancang utama.
"Zidane adalah pemain terbaik dunia dan saya sering cuba belajar sesuatu daripadanya," kata Zidan selepas Mesir kecundang 4-3 di tangan Brazil.
"Saya sering menonton banyak perlawanan membabitkan Zidane bagi mempelajari kemahiran serta gerakannya.
"Saya mahu memperbaiki permainan dan membuktikan betapa saya juga bagus. Memang menarik memiliki nama yang hampir sama dengannya dan saya harap boleh menjadi sebaiknya satu hari nanti."
Zidan dan Zidane juga mempunyai satu lagi persamaan iaitu mempunyai pasangan yang berkecimpung dalam dunia hiburan.
Zidane berkahwin dengan bekas penari Perancis, Veronique Lentisco manakala Zidan pula baru-baru ini mengumumkan pertunangannya dengan aktres Mesir, Mai Ezzidine.
"Saya lebih suka tidak berbicara mengenai isu ini kerana ia perkara peribadi dan biarlah saya simpan dalam hati," kata Zidan apabila ditanya jika pertunangannya dengan seorang selebriti nasional mungkin menggugat kariernya.
Apabila ditanya mengenai masa depannya di peringkat kelab, Zidan mendedahkan dia gembira di Dortmund.
"Saya gembira di Dortmund," katanya. "Saya memiliki musim yang bagus kerana bermain beberapa kali tapi masih berjaya menjaringkan tujuh gol. Saya masih mempunyai tiga tahun baki dalam kontrak dan saya harap mampu mencipta nama di peringkat kelab juga."
Beberapa minggu sebelum Piala Negara-Negara Afrika 2006, Persatuan Bola Sepak Mesir menghantar faks ke Mainz meminta kelab itu melepaskan Zidan. Tidak ada jawapan daripada Mainz atau Zidan sendiri mengenai perkara itu, lantas menghadirkan kritikan pedas di kalangan penyokong Mesir.
Dia didakwa memilih untuk tidak mewakili Mesir kerana bimbang akan hilang tempat dalam kesebelasan utama Mainz dan berasakan Mesir tidak mempunyai peluang muncul juara.
Namun dalam temuramah terbaru, selepas Mesir memenangi kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika 2008, dia mendedahkan alasan sebenarnya tidak beraksi pada 2006 adalah kerana kecederaan kaki.
Pada April 2006, jurulatih Mesir, Hassan Shehata mengumumkan beliau tidak akan memanggil Zidan menyertai pasukan kebangsaan. Keputusan itu menyebabkan Zidan terfikir untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan Denmark jika Mesir tidak mahukan khidmatnya lagi.
Bagaimanapun pada 5 Ogos 2006, Hassan mengalah apabila memanggilnya semula bagi perlawanan persahabatan menentang Uruguay sekalipun Zidan cedera.
Akhirnya, Zidan membuat kemunculan sulung bersama Mesir pada pusingan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika 2008 menentang Burundi. Dalam perlawanan itu, dia menjaringkan gol sulung pada peringkat antarabangsa hanya lima minit selepas sepak mula.
>Profil
NAMA PENUH: Mohamed Abdullah Zidan
TARIKH LAHIR: 11 Disember 1981
TEMPAT LAHIR: Port Said, Mesir
TINGGI: 1.76 meter
POSISI: Penyerang
KELAB TERKINI: Borussia Dortmund
NOMBOR JERSI: 10
KARIER SENIOR:
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Ekstra/20090620044524/Article/index_html