Wednesday, July 29, 2009

Adun Selangor jual durian

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
bhnews@bharian.com.my


MOHD Isa melayan pelanggan memilih durian bermutu di gerainya di hadapan Bangunan Umno Bahagian Hulu Selangor.

Wakil rakyat Batang Kali hilang pendapatan akibat elaun digantung

KUALA KUBU BHARU: Tidak mempunyai pendapatan akibat digantung elaun selama enam bulan, mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim, nekad bekerja sambilan menjual durian di hadapan Bangunan Umno Bahagian Hulu Selangor, di sini, sejak minggu lalu.

Katanya, beliau perlu mencari kerja sambilan membantu anak saudaranya, Nor Azlan Mansor, 35, menjual raja buah di sini demi mencari pendapatan selepas digantung kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor pada 15 Julai lalu.

"Saya tidak malu melakukan kerja menjual durian ini. Apa boleh buat elaun kena gantung. Nasib rakyat perlu dibela walaupun hidup dalam serba kekurangan ini.

"Walaupun mendapat tekanan pembangkang, saya tidak berputus asa melakukan kerja ini demi mencari rezeki halal, termasuk membantu rakyat di Batang Kali," katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini, semalam.

Katanya, setiap hari selama empat jam bermula jam 8 malam beliau menjual durian yang dibeli dari Pahang kepada penduduk sekitar Hulu Selangor.

"Saya bersyukur kerana ramai pelanggan memberi sokongan membeli durian di sini. Pendapatan mencecah RM700 setiap malam digunakan untuk kos penyelenggaraan sewa pejabat, gaji pekerja dan sumbangan kepada rakyat di kawasan ini," katanya.

Mohd Isa berkata, kerajaan Selangor mengambil tindakan menggantung elaun dan kebenaran menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lima wakil rakyat Barisan Nasional (BN) baru-baru ini selepas mendakwa mereka menegur Jawatankuasa Ketelusan dan Kebertanggungjawaban Selangor di luar dewan .

"Saya melihat tindakan kerajaan negeri itu terlalu kejam dan tidak adil. Mereka melakukan sesuatu yang tidak berhati perut. Rakyat tahu menilai semua itu," katanya sambil tidak menolak kemungkinan akan mengusahakan perniagaan lain selepas berakhirnya musim durian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...