Wednesday, July 29, 2009

4 beradik tidak ada sijil kelahiran


NORSAFINAH bersama tiga dari empat anaknya yang tidak mempunyai sijil kelahiran sejak dilahirkan.

KUALA KEDAH: Empat beradik berusia antara dua dan tujuh tahun dari Kampung Lorong Tujuh di sini, tidak memiliki sijil kelahiran kerana ibu bapa mereka gagal mendaftar semula perkahwinan mereka di negara ini selepas bernikah di Songkhla, Thailand, lapan tahun lalu.

Ibu mereka, Norsafinah Ghazali, 30, mendakwa dia dan suaminya, Roslan Abdul Rahman, 31, yang bernikah pada 2001 tidak mampu membayar denda RM1,000 seorang kepada Jabatan Agama Islam Kedah untuk mendaftarkan semula perkahwinan mereka.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan lima anak iaitu Mohd Anas, 7; Alis Suraya, 6; Mohd Yassin; 5, Mohd Haikal, 2 dan Siti Khatijah, setahun.


Bagaimanapun, anak bongsu mereka yang dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, mempunyai sijil kelahiran tetapi nama bapa tidak dapat diletakkan di dalam dokumen itu kerana masalah sama.

Norsafinah yang berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang berkata suaminya yang bekerja sebagai nelayan berpendapatan kurang RM250 sebulan dan tidak mampu membayar denda, tambahan Mohd Haikal menghidap penyakit buah pinggang yang turut memerlukan kos rawatan.

"Disebabkan tiada sijil kelahiran, saya membuat rayuan ke Pejabat Pelajaran Negeri untuk menyekolahkan anak sulung saya dengan mengemukakan kad pengenalan diri dan suami serta sijil nikah kami yang dikeluarkan pihak berkuasa Thailand sebelum ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Seberang Nyonya.

"Saya tidak tahu nasib anak saya yang lain kerana tanpa sijil kelahiran mereka sukar untuk menikmati hak kerakyatan seperti kanak-kanak seusia mereka," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Norsafinah berkata, beliau dan suaminya pernah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Alor Setar untuk mendapatkan sijil kelahiran untuk anak mereka tetapi selepas diberitahu perlu membayar denda lewat daftar kelahiran bagi setiap seorang anak yang mencecah ratusan ringgit, niat itu terpaksa dilupakan kerana ketiadaan wang.

Malah, disebabkan masalah kewangan, ada kalanya Mohd Haikal dan Siti Khatijah, terpaksa diberi minum air kosong bercampur gula bagi menggantikan susu.

"Esok (hari ini), Mohd Haikal akan dimasukkan ke HSB bagi menjalani pembedahan kedua membesarkan saluran buah pinggang kanannya," katanya.

Norsafinah berharap ada pihak tampil membantunya menyelesaikan masalah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...