Wednesday, July 29, 2009

'Dakwaan balu suami ada RM160b berasas'

PORT DICKSON: Siasatan awal Biro Pengaduan Awam (BPA) mendapati, dakwaan seorang balu yang mengadu suaminya meninggalkan wang sebanyak RM160 bilion dalam akaun sebuah bank tempatan mempunyai asas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata wanita berusia 48 tahun itu mengemukakan bukti termasuk menyerahkan cek dan dokumen perniagaan bertaraf antarabangsa yang diusahakan suaminya yang berumur 52 tahun.

"Saya sudah mengadakan mesyuarat pertama dengan wakil bank berkenaan dan mereka berjanji untuk menjalankan siasatan dalaman serta memberi maklum balas mengenainya dalam tempoh dua minggu.

"Siasatan awal mendapati, dakwaan itu mempunyai asas, tetapi kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Jika terbukti benar, kita akan membantu beliau mendapatkan haknya, termasuk menuntutnya di Amanah Raya Berhad," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Motivasi Pembantu Am Pejabat Gred N1/N4 anjuran Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam di sini, semalam.

Jumaat lalu, Murugiah yang bertanggungjawab terhadap BPA mendedahkan pihaknya sedang menyiasat laporan seorang balu yang mengadu suaminya ada meninggalkan wang sebanyak RM160 bilion dalam akaun sebuah bank tempatan.

Beliau berkata, pihaknya terkejut dengan aduan berkenaan kerana ia membabitkan sejumlah wang yang besar, tambahan lagi, ia dimiliki oleh seorang rakyat Malaysia dan jika benar, suaminya adalah lelaki terkaya di negara ini.

Mengikut laporan Forbes Asia yang disiarkan Mei lalu, lelaki terkaya di Malaysia adalah peneraju Kumpulan Kuok, Tan Sri Robert Kuok yang memiliki nilai aset terkumpul sebanyak AS$10 bilion (RM36 bilion), manakala ahli perniagaan Ananda Krishnan di tempat kedua dengan AS$9 bilion (RM31.5 bilion).

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20090729003249/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...