Saturday, February 27, 2010

Boleh jamak, qasar selagi tidak bermukim





SAYA ingin tahu berapa hari seseorang musafir itu boleh mendirikan solat jamak dan qasar jika tempoh mendirikan solat jamak dan qasar sudah tamat sedangkan tugas atau urusan seseorang musafir belum selesai? Adakah solat lain yang boleh didirikan untuk meringankan seseorang musafir supaya solatnya tidak tertinggal walaupun padat dengan jadual tugas atau urusannya.

Ingin Tahu,

Sandakan.



MUSAFIR adalah mereka yang berjalan jauh melebihi dua marhalah (lebih kurang 92 kilometer) dengan tujuan dan matlamat yang baik. Tidak dibolehkan qasar dan jamak solat sekiranya musafir bagi tujuan maksiat dan dosa seperti musafir untuk merompak dan sebagainya. Seorang musafir hendaklah melepasi kampung halaman, bandar atau pun kotanya, maka di sana boleh dimulakan solat qasar dan jamak.

Berhubung rukhsuh (keringanan) solat ketika musafir ini, Allah SWT berfirman, “Dan apabila kamu merantau di muka bumi, maka tidak menjadi kesalahan ke atas kamu mengqasarkan (memendekkan) solat. (Surah al-Nisa’ ayat: 101)

Fuqaha’ sepakat orang yang berada dalam musafir boleh qasar solatnya sehingga ia melaksanakan keperluannya dan kembali semula ke negaranya, asal saja beliau tidak berniat untuk bermukim di tempat yang dituju walaupun berada dalam tempoh musafir itu beberapa bulan lamanya. Umpamanya, dia menunggu untuk melaksanakan keperluannya sambil berkata kepada dirinya, “esok aku akan musafir.” Walau bagaimanapun pada keesokan hari, urusannya masih belum selesai.


Jika dia berniat untuk bermukim (menetap) selama beberapa hari, fuqaha’ berselisih pendapat mengenai bilangan hari yang boleh diqasar solat. Bagi fuqaha’ Hanafi mereka berpendapat tidak boleh diqasarkan solat jika seseorang berniat untuk bermukim selama 18 hari ke atas kerana berdasarkan ucapan Ibn Abbas dan Ibn Umar: “Apabila anda tiba di sebuah negara dalam keadaan anda bermusafir dan anda berniat untuk bermukim selama 15 malam, maka sempurnakan solat anda, tetapi jika anda tidak mengetahui bila anda akan musafir meninggalkan negara itu, anda boleh qasar solat anda.” Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi.

Fuqaha’ as-Syafie berpendapat tidak boleh diqasarkan solat, jika seseorang berniat untuk bermukim (menetap) selama 18 hari berdasarkan hadis Imran bin Husain yang berkata: “Aku musafir bersama Rasulullah SAW. Aku juga terbabit dengan Baginda SAW semasa pembukaan Makkah. Baginda SAW bermukim di Makkah selama 18 malam. Baginda tidak bersolat kecuali dua rakaat saja. Baginda SAW bersabda (yang bermaksud): “Wahai penduduk Makkah, solatlah kamu sekalian sebanyak empat rakaat, kerana kami adalah kaum yang musafir.” Hadis ini dikeluarkan oleh as-Syafie secara panjang lebar dan juga Abu Daud.

Bagi Fuqaha’ Maliki dan sesetengah fuqaha’ Hambali, tidak boleh mengqasarkan solat, jika seseorang itu berniat untuk bermukim di suatu tempat melebihi empat hari kerana berpegang dengan pendapat Said bin al-Musayyab, “Sesiapa yang meniatkan untuk bermukim selama empat malam dalam keadaan ia musafir maka hendaklah disempurnakan solatnya.” Hadis dikeluarkan oleh Imam Malik.

Menurut Ibn Munzir dalam suatu penyelidikannya, kalangan ahli ilmu sudah ijmak (sepakat), seorang musafir dibolehkan qasar solatnya, selama ia tidak bermaksud untuk terus bermukim atau menetap di tempat yang hendak dituju, walaupun membabitkan masa bertahun-tahun lamanya.

Menurut jumhur al-Ulamak, tempat yang boleh dimulakan qasarkan solat ialah selepas melepasi rumah di satu-satu kawasan perkampungan orang yang hendak bermusafir itu sendiri dan tidak boleh menyempurnakan solatnya (solat tamam) kecuali selepas melepasi rumah pertama di kampungnya apabila kembali daripada musafirnya. Menurut Ibn Munzir, “saya tidak mengetahui Nabi SAW ada qasar solatnya dalam tempoh musafir kecuali selepas keluar dari Madinah.” Wallahua’lam.

Friday, February 19, 2010

TAHUN DUKA CITA

TAHUN DUKA CITA

Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Terima kasih pengerusi majlis, yang dihormati barisan hakim yang arif lagi bijaksana, Yg berusaha Pegawai Pelajaran daerah Ranau, guru-guru seterusnya hadirin dan hadirat yang dimuliakan.

Syair

Dengarkan sebuah cerita...

Kisah Nabi kita..

Agung namanya

Nabi Muhammad gelarannya...

Sedih hatinya..

Ditinggal selamanya

Dua orang kekasihnya

Dipanggil menghadap-Nya

Wahai kawan-kawan sekalian... tajuk cerita saya pada hari ini ialah Tahun Dukacita Nabi Muhammad SAW.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Nabi Muhammad SAW mengalami tahun dukacita yang menyesakkan dada dan menggundahkan kalbu. Peristiwa dukacita itu adalah wafatnya dua orang yang sangat dicintai dan dikasihi. Pertama, peristiwa wafatnya Abu Thalib, seorang pakcik Nabi, yang memeliharanya sejak kecil, sejak beliau berusia 8 tahun. Pakcik yang senantiasa melindungi dirinya dari berbagai tindakan jahat kaum musyrik Quraisy.

Selama Abu Thalib masih hidup, orang-orang musyrik tidak pernah berani menyakiti Nabi SAW secara berlebihan. Nabi menyatakan : “Orang-orang Quraisy tidak menggangguku yang menyakitkan, sampai tibanya akhir hayat pakcikku Abu Thalib”. Dalam berbagai kegiatan yang dilakukan Nabi untuk berda’wah menyampaikan kebenaran, senantiasa mendapat perlindungan dari pakcik yang amat dicintainya itu. Abu Thalib adalah seorang pemimpin Quraisy yang amat disegani, serta memiliki karisma yang kuat yang berpengaruh langsung terhadap seluruh lapisan masyarakatnya.

Wahai kawan-kawan ,kita sebagai manusia yang hidup di muka bumi ini tidak akan kekal selama-lamanya. Kita harus berusaha untuk memajukan diri kita dan mendoakan kehidupan yang aman bahagia kepada mereka yang sentiasa menolong kita supaya berjaya.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Peristiwa kedua, terjadi tidak begitu lama setelah wafatnya Abu Thalib, yaitu wafatnya istri tercinta, Sayyidatina Khadijah al-Qubra. Satu-satunya istri Nabi yang mendampingi perjalanan panjangnya dalam suka dan duka, sejak Nabi berusia 25 tahun. Sayyidatina Khadijah adalah istri yang sangat setia, ia mengorbankan segala apa yang dimilikinya bagi kejayaan Nabi dan agama Islam. Betapa agungnya kasih sayang Nabi terhadap istrinya sehingga beliau mengatakan : “Allah tidak menggantikan bagiku seorang istri seperti Khadijah. Ia orang yang pertama kali beriman, ketika semua orang mendustakan agamaku. Ia seorang yang paling mengasihi dan mencintaiku, ketika orang-orang membenciku. Ia pula yang mengorbankan segala apa yang dimilikinya demi kebesaran agamaku”.

Wahai kawan-kawan, sebaik-baik lelaki ialah mereka yang berbuat baik kepada isterinya dan keluarga. Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadi orang yang baik dan beralam soleh. Ucapkan terima kasih kepada mereka selalu.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Peristiwa wafatnya dua orang yang amat dicintai Nabi akhir zaman itu, menandakan terjadinya permulaan dari “tahun dukacita”. Tahun kesedihan dan kesengsaraan yang dirasakan Nabi, keluarga dan para sahabatnya yang sangat setia. Sebaliknya orang-orang kafir Quraisy bagaikan mendapat angin, mereka boleh bertindak secara terang-terangan kepada Nabi SAW, kerana dua orang yang melindunginya telah tiada. Hinaan, cemuhan dan cercaan silih berganti mereka timpakan kepada Nabi yang mulia itu, hari demi hari. Tiada hari yang berlalu tanpa hinaan dan cercaan dari kaum musyrik Quraisy.

Hasutan jahil dan bersikap biadab mereka lakukan kepada Nabi SAW sampai pada perbuatan yang sangat keji sekalipun. Orang-orang Quraisy tidak segan-segan melemparkan tanah atau kotoran pada kepala Nabi, ketika Nabi berjalan atau ketika ia sujud melakukan shalat. Fathimah, putri Nabi lalu membersihkan kepala ayahnya, ia membersihkannya sambil menangis, berlinang air mata. Tak ada yang lebih duka rasanya dalam kalbu seorang ayah daripada mendengar tangis anaknya, lebih-lebih anak perempuan yang baru saja ditinggalkan ibunya.

Nabi Muhammad SAW adalah seorang ayah yang sangat bijaksana dan penuh kasih kepada anak-anaknya. Yang kita lihat dari reaksi beliau terhadap tangisan anak perempuannya, yang merasa sedih dan duka karena malapetaka yang menimpa ayahnya. Peristiwa yang mengharukan itu beliau hadapi dengan kesabaran dan berlapang dada. Semuanya dikembalikan kepada Allah dengan penuh iman dan taqwa. Ia berkata kepada putrinya : “Jangan menangis anakku sesungguhnya Allah akan melindungi ayahmu”.

Wahai kawan-kawan sekalian, jangan kita mencaci atau menghina orang lain kerana Allah swt akan membalasnya di akhirat kelak. Kita harus menolong mereka yang ditimpa musibah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Ketika tekanan dan penghinaan orang-orang Quraisy terhadap Rasul semakin hebat terlintas olehnya untuk melakukan perjalanan Thaif, berda’wah kepada penduduk negeri itu. Rasul menaruh harapan semoga kaum Thaqif yang menduduki wilayah Thaif yang amat subur dengan udara sejuk itu mau menerima agama Allah SWT.

Penduduk Thaif ternyata amat bengis, mereka menolak kedatangan Nabi SAW, dakwahnya mereka tolak dengan kasar. Demikian kasarnya sikap mereka kepada Nabi, sehingga mereka mengkhianati kebiasaan bangsa Arab, yang selalu menghormati tamunya. Orang-orang Thaif mengusir Nabi dengan kasar, bahkan dilempari dengan batu. Nabi segera menghindari mereka, berlindung di bawah pohon anggur milik Uthbah dan Syaibah. Di tempat itu beliau menengadah ke langit, hanyut dalam suatu doa pengaduan yang sangat mengharukan.

“Wahai Allah Tuhanku, kepada-Mu aku mengadukan kelemahan diriku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku di hadapan sesama manusia. Wahai Allah Yang Maha Kasih dari segala kasih, Engkau adalah pelindung orang-orang yang lemah dan teraniaya. Engkau adalah pelindungku. Tuhanku, kepada siapa Engkau serahkan diriku? Apakah kepada orang jauh yang membenciku atau kepada musuh yang menguasai diriku. Tetapi asal Kau tidak murka padaku, aku tidak perduli semua itu. Kesehatan dan karunia-Mu lebih luas bagiku, aku berlindung dengan cahaya-Mu yang menerangi segala kegelapan, yang karenanya membawa kebahagiaan bagi dunia dan akhirat, daripada murka-Mu yang akan Kau timpakan kepadaku. Engkaulah yang berhak menegurku sehingga Engkau meridhaiku. Tiada daya dan upaya kecuali dari-Mu”.

Wahai kawan-kawan , kita wajib menghormati tetamu. Jika mereka memerlukan bantuan maka bantulah sekadar yang termampu.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Demikianlah kisah nabi kita Nabi Muhammad SAW yang telah ditimpa musibah yang amat pedih. Namun nabi Muhammad saw terus berdakwah untuk mengembangkan agama yang suci, agama Islam.

Wassalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...