Friday, September 18, 2009

Disaman anak

KUANTAN: “Saya terkilan dan kecewa dengan tindakan anak perempuan yang sanggup menyaman dengan alasan konon saya enggan menjadi wali pernikahannya,” kata kontraktor, Mazlan Mohd Hussein, ketika ditemui di rumahnya di Bukit Sekilau, di sini, semalam.

Mazlan, 45, berkata dia terkejut menerima surat daripada Mahkamah Rendah Syariah Dungun, Terengganu, pada 3 September lalu memintanya hadir ke mahkamah berkaitan kes saman dikemukakan anak perempuannya berusia 20 tahun, Ahad ini.

Menurutnya, tidak timbul langsung soal enggan menjadi wali pernikahan kerana dia hanya mahukan anak perempuannya itu datang menemuinya bagi membincangkan perkahwinannya dengan membawa keluarga bakal suami serta penjaganya kini.

Katanya, anak perempuannya dipelihara keluarga angkat sejak berusia dua bulan kerana dia dan isteri ketika itu tinggal di Kemaman mengalami kesempitan hidup hingga tidak mampu memeliharanya.

“Jadi, saya terpaksa menyerahkan anak kepada ibu saudara sebelah isteri yang tinggal di Paka untuk dipelihara dengan baik. Ketika berusia dua tahun, saya dan isteri bercadang mengambil semula anak itu kerana sukar untuk menemuinya selain bertanya khabar.

“Malangnya, keluarga angkat anak saya meminta bayaran ganti rugi RM2,000 konon sebagai wang membeli susu dan keperluan lain.

“Saya bersetuju membayar wang itu sebelum dipujuk keluarga angkat anak supaya membatalkan hasrat mengambil semula anak itu kerana mereka sudah menyayanginya,” katanya.

Mazlan berkata, dia yang lembut hati dengan pujukan itu terpaksa menyerahkan semula anaknya itu kepada keluarga angkat berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga anak itu membesar, dia dan isteri dilarang menemui atau menghubungi anaknya itu menyebabkan terputus hubungan.

“Saya sekeluarga berpindah ke Balok, Kuantan, pada 2005. Ketika itu, anak perempuan saya menghubungi isteri tetapi bukan untuk bertanya khabar, sebaliknya memaki-hamun isteri termasuk menuduhnya sebagai ibu yang jahat.

“Kami kesal, sedih dan marah dengan tindakan anak perempuan yang disifatkan keterlaluan. Sejak itu, kami tidak mengambil tahu mengenainya sehingga dia muncul bersama tunangnya pada 16 Mei lalu.

“Dia mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada hujung Disember ini dan memerlukan kebenaran saya menjadi wali pernikahannya,” katanya.

Katanya, dia bersetuju menjadi wali tetapi meletakkan syarat anak perempuannya itu perlu membawa keluarga angkat dan keluarga bakal suami untuk berkenalan secara lebih dekat dan berbincang.

“Pada 4 Ogos lalu, anak saya datang semula bersama tunangnya dan ibu lelaki itu serta seorang lelaki didakwa jurunikah. Tanpa berbincang dengan cara sewajarnya, mereka meminta salinan kad pengenalan saya untuk urusan pernikahan itu.

“Bagaimanapun, saya enggan memberikan salinan kad pengenalan itu kerana ragu dengan status jurunikah itu kerana tidak menunjukkan pengenalan membuktikan dia mempunyai tauliah,” katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...