am@hmetro.com.my
PASIR PUTEH: “Menggeletar badan mak cik melihat keadaan mangsa yang mengerikan dengan otak berterabur di tempat kejadian. Ini kali pertama kejadian mengerikan itu berlaku di depan rumah dan diingati sampai bila-bila,” kata saksi kemalangan yang hanya mahu dikenali sebagai Hasnah, 54.
Dalam kejadian kira-kira-kira jam 11 malam kelmarin, tiga termasuk dua beranak terbunuh apabila Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan bas dari arah bertentangan.
Mereka yang terbunuh ialah pemandu kereta, Rosman Abdullah, 54, penumpang yang juga pemilik kereta, Kew Kwen Ming, 46, serta anak bongsu Kew, Kent Chia Han Ru, 12.
Kejadian berlaku di Kilometer 50, Jalan Kota Bharu-Terengganu di Kampung Bukit Yong, menyebabkan tujuh sekeluarga menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Jertih cedera.
Mangsa yang parah ialah pemandu MPV, Mohamad Ariffin Abdullah, 49, isterinya, Sartina Mohd Nor, 40 serta anak mereka, Siti Nur Safirah, 20, Nurul Hidayah, 13 dan Ahmad Danial, empat tahun manakala Ahmad Syamil, 12, dan Ahmad Shahid, 11, cedera ringan.
Bagaimanapun, pemandu bas berusia 58 tahun serta 17 penumpang termasuk pemandu kedua tidak cedera walaupun bahagian depan bas itu rosak teruk.
Semua mangsa yang maut dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu menuju ke rumah mereka di Jertih, manakala bas terbabit dari arah bertentangan menuju ke Kota Bharu sebelum ke Pulau Pinang.
Menurut Hasnah, dia terkejut mendengar dentuman kuat di depan rumahnya dan bergegas ke tempat kejadian bersama seorang anaknya untuk memberi bantuan, namun terpaksa membatalkan hasrat itu sebaik melihat darah dan cebisan otak bertaburan di luar Proton Wira.
“Kemalangan itu begitu mengerikan dan saya tidak tergamak melihat secara dekat dan memberi bantuan. Pada mulanya, saya ingatkan bunyi mercun kuat tetapi rupanya kemalangan,” katanya.
Ibu Kew, Lim Siew Chian, 67, pula berkata, dia terkilan kerana cucu lelakinya yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chung Hwa, Jertih itu tidak sempat menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula Selasa ini.
“Anak sulung dan cucu saya itu pergi ke Kota Bharu petang tadi (kelmarin) dengan ditemani Rosman yang juga pekerjanya.
“Kew memang seorang yang minat berniaga hingga memiliki kedai menjual motosikal di Jertih manakala Kent seorang murid pintar dan cerdas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA), awal pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, siasatan awal mendapati, kereta dipandu Rosman dipercayai cuba memotong deretan kenderaan di laluan kanan sebelum bertembung dengan bas ekspres yang datang dari arah Terengganu menuju ke Pulau Pinang.
Berikutan itu, katanya, pemandu bas gagal mengelak lalu melanggar Proton Wira sebelum bertembung dengan MPV yang datang dari arah Kota Bharu menuju Kerteh, Terengganu.
“Tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala tujuh beranak dihantar ke Hospital Jertih dan HTA sebelum dirujuk ke Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.
“Pemandu bas itu diambil keterangan termasuk menjalani pemeriksaan ujian air kencing sebaik menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh,” katanya.