Friday, September 18, 2009

Tragedi 28 Ramadan


Dua kereta merempuh treler yang terbalik di Kilometer 94.8, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bedong, semalam (gambar atas). Kemalangan di Kilometer 60 Tanjong Karang - Teluk Intan membabitkan kereta dan lori.

4 beranak rentung; 3 mati tersepit

SUNGAI PETANI: Dua hari menjelang Aidilfitri esok, tujuh lagi maut dalam dua nahas ngeri termasuk membabitkan empat beranak rentung apabila Perodua Myvi yang dinaiki terbakar selepas merempuh sebuah treler di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bedong di sini, semalam.

Di Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang dekat Sungai Panjang, Sabak Bernam pula tiga orang termasuk dua beradik terbunuh apabila kereta mereka bertembung dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Kedua-dua nahas itu berlaku tidak sampai 24 jam selepas kemalangan yang meragut nyawa lima orang daripada dua keluarga di Kilometer (KM) 76, Jalan Tanah Merah-Jeli, Kelantan, kelmarin.

Dalam kejadian di KM 94.7 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini, kira-kira jam 6.30 pagi semalam, empat beranak itu rentung selepas terperangkap dalam kereta mereka sebaik merempuh sebuah treler yang terbalik dan merintangi laluan lebuh raya berkenaan.

Mangsa dikenali Yusof Ahmad, 53, yang juga Penolong Pegawai Penyelidik (Hartanah) di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), isterinya, Hasnah Hamzah, 52, serta dua anak perempuan mereka, Hazwani Izati, 23 dan Hafizatul Halimi, 20.



Difahamkan, ketika kejadian empat beranak itu dalam perjalanan ke sebuah hospital di Pulau Pinang untuk membawa Yusof mendapatkan rawatan ketumbuhan dalam perut.

Kemalangan itu turut membabitkan dua lagi kereta termasuk satu daripadanya juga terbakar, tetapi kedua-dua pemandunya, Kamaruzaman Husein, 36 dan Azhar Abd Rahman, 38, parah dan sempat diselamatkan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, berkata ketika kejadian keadaan jalan berkabus dan gelap.

Beliau berkata, treler yang dalam perjalanan ke Butterworth dikatakan hilang kawalan dan terbalik serta menggelungsur kira-kira 30 meter sebelum merempuh pembahagi jalan dalam keadaan melintang.


Katanya, tiga kenderaan di belakang termasuk Perodua Myvi berkenaan pula tidak sempat mengelak dan merempuh treler terbabit.

"Pemandu Myvi dan tiga penumpangnya terperangkap dan rentung bersama kenderaan itu. Bagaimanapun, pemandu dua lagi kenderaan, iaitu Naza Citra dan Perodua Viva, sempat diselamatkan oleh pengguna jalan raya sebelum satu daripada kenderaan terbabit turut terbakar," katanya.

Dua pemandu itu kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim di sini, manakala pemandu treler berusia 23 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir tiga jam sepanjang kira-kira 20 kilometer arah selatan lebuh raya apabila laluan itu ditutup untuk memudahkan kerja pengalihan kenderaan terbabit.

Semua kenderaan diarah menggunakan susur keluar ke Gurun dan Sungai Lalang sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Di SABAK BERNAM, dua beradik, CT Zubaidah Zainal Abidin, 25, dan Zainudin Zainal Abidin, 24, serta seorang rakan mereka, Izora Yusuf, 22, meninggal dunia selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah lori di KM 60 Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang dekat Sungai Panjang.

Dalam kejadian 10 pagi itu, kepala seorang mangsa hampir putus dan pasukan bomba terpaksa mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat semua mangsa yang tersepit dan terperangkap dalam kereta yang remuk itu.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussain Omar, berkata kereta yang dipandu Zainudin dikatakan cuba memotong kenderaan lain sebelum terbabas dan berlanggar dengan lori 12 tan tanpa muatan itu dari arah bertentangan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...