ACORUNA (Sepanyol): David Villa meledakkan dua jaringan dan menghasilkan gerakan untuk membolehkan pasukannya menjaringkan dua lagi gol ketika Sepanyol membelasah Belgium 5-0 untuk kekal cemerlang pada kempen kelayakan Piala Dunia.
Villa yang sepakan penaltinya pada babak pertama diselamatkan penjaga gol lawan, mengumpan bola kepada rakan sepasukannya di Valencia, David Silva pada minit ke-41 untuk gol pembukaan sebelum dia sendiri menggandakan kelebihan pada minit ke-49.
Seminit kemudian, hantaran Villa kepada Gerard Pique di sempurnakan pemain itu dan pemain pertahanan Barcelona itu mudah menghasilkan gol ketiga.
Silva sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-68 sebelum Villa meledakkan gol keduanya pada minit ke-85.
Juara Eropah itu menang semua tujuh perlawanan kelayakan mereka dalam Kumpulan Lima.
Sepanyol kini mengetuai kumpulan dengan 21 mata manakala Bosnia-Herzegovina mengumpul 15 mata dengan baki tiga perlawanan.
Turki menduduki tangga ketiga dengan 11 mata manakala Belgium mengumpul tujuh mata.
Sepanyol berpeluang layak ke Afrika Selatan ketika menentang Estonia, pertengahan minggu ini tetapi ia juga bergantung kepada keputusan perlawanan antara Bosnia-Herzegovina dengan Turki.
“Memang hebat rasanya apabila dapat menjaringkan gol,” kata Villa yang muncul buat kali ke-52 bersama skuad kebangsaan. “Saya rasa keputusan itu memang adil kerana kami mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.” - Agensi