Tuesday, March 15, 2011


Kenapa tunggu 2012 haram botol susu polikarbonat


2011/03/15

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kenapatunggu2012harambotolsusupolikarbonat/Article/


PUTRAJAYA: Mengapa tunggu hingga 2012 jika ia membahayakan? Persoalan yang ditimbulkan berikutan tindakan kerajaan menunggu hingga tempoh itu bagi pengharaman penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi bahan Bisphenol A (BPA) kerana dikhuatiri boleh mengganggu sistem hormon dan tubuh bayi serta kanak-kanak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata keputusan Kabinet yang dicapai pada 2 Mac lalu itu bertujuan memberi tempoh pada pihak industri membuat persediaan menukar atau membeli mesin serta menggunakan bahan mentah sesuai bagi memenuhi peraturan baru itu.
“Keputusan ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik menunjukkan botol susu polikarbonat yang mengandungi BPA selamat untuk golongan berisiko tinggi khususnya bayi dan kanak-kanak,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), mempersoalkan tindakan itu dan mendesak kerajaan mengharamkan terus penjualan botol berkenaan.

Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman, berkata tindakan kerajaan mengharamkannya pada tahun depan hanya akan menyebabkan lebih ramai bayi dan kanak-kanak berisiko mendapat pelbagai penyakit.

Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman pula mahu setiap botol susu yang dipasarkan melalui pemeriksaan ketat bagi memastikan penggunaannya tidak membahayakan kesihatan bayi dan kanak-kanak.

Tiong Lai sebelum itu berkata, kajian terhadap 159 sampel botol susu bayi juga mendapati 85 peratus atau 135 dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 miligram per kilogram.
Katanya, kajian Universiti Malaya (UM) pula menunjukkan kadar migrasi sebanyak tujuh kali ganda pada suhu 80 darjah celsius berbanding pada suhu bilik 25 darjah celsius. Kadar migrasi merujuk kepada percampuran bahan BPA itu dengan kandungan botol susu berkenaan pada suhu tertentu.

“Dalam tempoh setahun ini, pengguna perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada migrasi BPA berdasarkan panduan penggunaan botol susu bayi polikarbonat yang disarankan kementerian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya orang ramai boleh bertindak awal dengan menukar penggunaan botol susu bebas BPA mengikut kemampuan masing-masing.

Beliau berkata, pengharaman ini selaras tindakan sama yang diambil beberapa negara antaranya Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand dan Kesatuan Eropah.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang menggunakan botol susu bayi polikarbonat supaya mematuhi arahan pengendalian dan mengelak menggunakan air panas secara terus ketika membancuh susu, selain menggunakan peralatan mencuci botol sesuai bagi mengelakkan permukaan dalam botol rosak serta bercalar.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian 03-88833652/3653/3655 atau melayari laman web www.moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my.

INFO: Bisphenol A (BPA)
- Bahan kimia industri yang digunakan dalam penghasilan botol susu bayi polikarbonat
- Boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekali gus mengganggu sistem fungsi tubuh bayi
- Botol susu bayi bebas BPA biasanya dilabel `bebas BPA' pada bahagian bawah botol.
- Botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA bersifat keras dan lutsinar
- Ia boleh dikenal pasti melalui kod identifikasi plastik yang biasa didapati di bawah botol susu bayi.
- Kod terbabit ialah nombor 7, nombor 7 dan PC, nombor 7 dan `other'
- Alternatif botol susu bayi di pasaran ialah yang diperbuat daripada polypropylene (PP), polyethersulfone (PES), polyamides (PA) dan kaca.

INFO: Panduan pengendalian botol susu bayi polikarbonat:
# Steril botol susu bayi mengikut arahan pengendalian pada label atau yang diberikan oleh pengeluar, jika ada.
# Jika tiada panduan, pengguna perlu merendam botol susu bayi polikarbonat dalam air yang mendidih selama lima hingga 10 minit.
# Elak menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu.
# Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus lembut bagi mengelakkan permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.
# Sentiasa periksa permukaan dalam botol susu dan jika ada kesan calar atau rosak, ia perlu diganti.
# Jika tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap enam bulan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...