RICHARDS (kanan) dan David Silva meraikan kejayaan City ke atas Reading 1-0 pada perlawanan suku akhir Piala FA di Eastlands awal pagi semalam.
LONDON - Manchester City menempah pertembungan klasik dengan Manchester United pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley bulan depan.
City menempah slot ke suku akhir selepas menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Reading 1-0 pada aksi suku akhir di Eastlands awal pagi semalam.
City melangkah ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun hasil tandukan kencang pemain pertahanan, Micah Richards untuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-74.
Pada satu lagi perlawanan suku akhir, Stoke City turut menamatkan penantian panjang mara ke separuh akhir sejak 1972 setelah mereka berjaya menundukkan West Ham United 2-1 di Stadium Britannia.
Pada aksi separuh akhir nanti, Stoke bakal berdepan Bolton yang menundukkan Birmingham 3-2, Sabtu lalu.
Pengurus City, Roberto Mancini berkata, para pemainnya tampak lesu sejurus pulang daripada Ukraine setelah mereka tewas 0-2 kepada Dynamo Kiev pada aksi pertama pusingan ketiga Liga Europa pada Khamis lalu.
"Sesuatu yang mustahil untuk kami tampil dengan aksi lebih segar pada perlawanan ini. Kami baru beraksi di Kiev tiga hari yang lalu dan turun lagi beraksi menentang Reading ini.
"Jadi sukar untuk para pemain tampil dengan aksi 100 peratus. Apa pun kami tetap mampu melakukan 17 percubaan ke arah gawang lawan berbanding tiga atau empat kali saja berjaya dilakukan Reading.
"Tapi perlawanan ini tetap sukar kerana Reading sebuah pasukan yang bagus dan mereka beraksi dengan cukup baik sekali," kata Mancini.
Permusuhan di antara City dan United mula meningkat sejak Sheikh Mansour dari Abu Dhabi mengambil alih kelab Eastlands itu dan mula melakukan pelaburan besar bagi mendapatkan pemain-pemain bintang.
Ditanya tentang pertemuan dengan United nanti, Mancini berkata: "Ia pasti akan menjadi satu perlawanan yang menarik dan saya gembira kerana kami dapat beraksi di Wembley. Tapi ia hanyalah separuh akhir dan kami mahu mara ke final." - Reuters