EMETOFOBIA menjejaskan lebih ramai wanita berbanding lelaki. - Gambar hiasan
|
TERDAPAT tiga juta penduduk Britain yang berasa takut untuk muntah
sehingga menyebabkan mereka bersikap keterlaluan sampaikan sanggup
mengambil berat tentang soal kebersihan.
Tujuan mengambil berat tentang aspek kebersihan itu adalah bagi mengelak terkena penyakit yang menyebabkan mereka muntah.
Penyakit yang dikenali sebagai emetofobia atau takut dengan muntah
dan orang sakit itu turut dialami oleh Louise Fellows, 37, dari
Maidenhead, Berkshire di England.
"Ketika berumur lapan tahun, saya mula takut kalau jatuh sakit. Ibu
bapa saya menganggap perasaan takut itu mempunyai kaitan dengan batuk
yang pernah saya alami.
"Disebabkan emetofobia telah membayangi kehidupan saya sejak kecil
lagi, saya kemudian mewujudkan tabiat keterlaluan tentang kebersihan
kerana saya gerun dijangkiti Norovirus (yang boleh menyebabkan muntah),"
kata Fellows.
Wanita itu berkata, dia akan mengelak untuk mengambil makanan selama dua hingga tiga hari bagi memastikannya tidak muntah.
Namun, ketakutan untuk muntah itu menyebabkan berat badannya menurun secara drastik.
"Saya akan memakai tudung bagi menutup muka jika berada dalam situasi
yang berisiko (yang boleh menyebabkannya muntah). Saya juga mempunyai
tabiat kuat untuk menyilangkan dua batang jari saya dengan berdoa supaya
saya tidak jatuh sakit," katanya yang menjadi ketua sebuah syarikat
antarabangsa.
"Saya juga menghabiskan terlalu banyak masa membuat kajian mengenai virus Norovirus di internet.
PESAKIT emetofobia akan mencuci makanan berulang kali. - Gambar hiasan
|
Terjun dari kereta
"Apabila anak saya mula bersekolah, saya akan meninjau di sekeliling
sekolahnya. Ia bagi memastikan sama ada terdapat virus yang akan
menyebabkan anak saya berada dalam keadaan berisiko (jatuh sakit),
termasuk diri saya," katanya.
Menurutnya, pelbagai cara telah digunakannya untuk merawat perasaan takutnya itu.
Namun, semua cara tersebut tidak dapat membantunya mengatasi masalah itu.
"Doktor tidak tahu apa yang berlaku ke atas saya. Justeru, dia
(doktor) memperkenalkan kepada saya beberapa ahli terapi dan memberikan
risalah tentang cara untuk membantu masalah takut muntah yang saya
hadapi.
"Namun, ia tidak dapat menangani masalah fobia itu. Justeru, saya tahu cara itu tidak akan berkesan," katanya.
Dia kemudian menjalani terapi menerusi telefon yang merupakan program
Perkhidmatan Kesihatan Nasional selepas doktor mengesahkan dia
menghidap kemurungan.
"Doktor menyatakan semua masalah saya itu berpunca daripada kemurungan.
"Namun, saya tahu bahawa saya tidak mengalami kemurungan," katanya kepada akhbar Daily Mail baru-baru ini.
Doktor tersebut, menyatakan masalah takut muntah yang dialaminya mungkin berpunca daripada perasaan bimbang.
Doktor berkenaan menasihatkan Fellows supaya bertemu dengan seorang pakar lain.
|
AKIBAT takut untuk muntah, pesakit emetofobia sering mengamalkan diet yang ketat. - Gambar hiasan
|
"Saya amat kecewa kerana tidak ada seorang pun yang sudi untuk mendengar masalah saya," kata Fellows.
Lebih ramai wanita dikatakan menghidap penyakit itu berbanding
lelaki. Sebahagian pesakit mungkin enggan meninggalkan rumah kerana
takut terkena jangkitan kuman.
Terdapat juga pesakit yang tidak mahu mendekati saudara-mara dan
rakan-rakan yang sakit bagi mengelakkan mereka daripada dijangkiti.
Ibu yang menghidap penyakit itu pula akan menjadi panik jika anak mereka sakit.
Ibu-ibu itu panik secara keterlaluan kerana bimbang akan dijangkiti penyakit yang dihidap anak mereka.
Kebanyakan pesakit juga akan mempunyai diet yang ketat kerana mereka takut mengalami sakit perut dan seterusnya muntah.
Sebahagian penghidap penyakit itu juga akan cuba untuk tidak
mengambil pil yang mempunyai kesan sampingan iaitu muntah selepas
mengambilnya.
Seorang bekas pesakit, Anne Marie Bailey, 35, dari Newbury mengaku menderitai penyakit itu ketika berumur empat tahun.
"Saya mengetahui penyakit ini apabila abang saya muntah di dalam
kereta. Saya takut melihat keadaannya itu sehinggakan sanggup terjun
dari kereta.
"Ketika zaman kanak-kanak, saya mengelakkan daripada berada dekat
dengan kanak-kanak lain kerana tidak mahu dijangkiti penyakit. Saya juga
tidak mengambil makanan selama beberapa hari sehinggalah saya
didiagnosis mengalami gangguan pemakanan.
"Ketika berumur 14 tahun, berat badan saya turun secara mendadak.
Saya diberitahu hanya boleh hidup selama dua minggu dan doktor
mendiagnosis penyakit saya sebagai aneroksia," jelasnya.
Penawar
Kedua-dua wanita ini telah berjaya mengatasi masalah mereka selepas
menjalani sesi terapi Thrive selama enam sesi yang hampir sama dengan
terapi kognitif tingkah laku yang dicipta oleh seorang bekas ahli
terapi, Rob Kelly.
"Matlamat utama terapi itu adalah untuk menyedarkan pesakit supaya
membuat perubahan bagi diri mereka sendiri dan menjadi penawar kepada
penyakit yang dihidapi," ujar Kelly.
Fellows pula menambah: "Salah satunya adalah untuk memproses
pemikiran negatif kepada positif. Selepas menjalani sesi terapi ketiga,
anak saya mengadu dia tidak sihat.
"Pada kebiasaannya, saya akan memanggil rakan bagi menjaganya, tetapi
sebaliknya saya yang menjaganya. Saya tidak takut lagi tentang bahaya
jika dia muntah.
"Saya tidak sedar saya sudah sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu."