Saturday, October 17, 2009

Satu bilion penduduk dunia kelaparan

NAIROBI: Ibu bapa kebanyakan negara miskin di Afrika terpaksa mengehadkan perbelanjaan sekolah, pakaian dan penjagaan kesihatan asas semata-mata untuk memastikan anak mereka mendapat makan sekurang-kurangnya sekali sehari.

Tetapi, langkah itu masih belum mencukupi untuk menjamin anak mereka makan sekali sehari, menurut kajian, semalam.

Malah, seramai satu bilion penduduk dunia dilaporkan dalam keadaan berlapar. Laporan terbaru berita menyatakan, bilangan itu akan meningkat jika kerajaan tidak berbelanja lebih untuk pertanian.


Berdasarkan laporan agensi makanan PBB, Program Makanan Dunia (WFP), sebanyak 30 negara kini memerlukan bantuan kecemasan, 20 daripadanya di Afrika.

Keadaan berkenaan berterusan walaupun pemimpin dunia diberi sasaran sembilan tahun lalu untuk mengurangkan bilangan penduduk yang kelaparan sehingga separuh menjelang 2015.

“Ia sebenarnya satu darurat yang menggesa tindakan dari negara maju dan negara membangun,” kata Otive Igbuzor, ketua kempen antarabangsa bagi Action Aid International.

“Kita tahu, seorang kanak-kanak mati setiap enam saat akibat kurang zat,” katanya. Kenaikan harga makanan menambahkan kesukaran terutama di negara terdesak kerana kemiskinan menyebabkan penduduk hanya mampu makan sekali sehari.

Di Somalia, negara yang berhadapan dengan keganasan dan keadaan huru hara hampir dua dekad, perbelanjaan bulanan bagi makanan dan keperluan asas lain bagi sebuah keluarga enam orang meningkat sebanyak 85 peratus sejak dua tahun lalu, kata Grainne Moloney dari Unit Analisis Zat dan Keselamatan Makanan Somalia.

Secara purata, sebuah keluarga berbelanja AS$171 (RM598) pada September tahun ini berbanding AS$92 (RM322) bagi membeli makanan dan keperluan lain yang sama pada Mac 2007, kata Moloney, pakar pemakanan bagi Afrika. - AP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...